PRN MELAKA: CALON TERTUA BERUSIA 66 TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 31 Oktober – Mohamad Jaafar yang mewakili Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas diumum sebagai calon tertua yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka Ke-16.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohamad berusia 66 tahun, merupakan calon paling berusia daripada keseluruhan 79 calon yang disahkan bertanding pada pilihan raya negeri kali ini.

Jumlah calon berusia 60 tahun ke atas yang bertanding adalah seramai lapan orang, manakala 22 calon berusia antara 50 hingga 59 tahun.

Seramai 33 calon pula berada dalam lingkungan umur 40 hingga 49 tahun, diikuti 14 calon berusia 30 hingga 39 tahun dan dua calon berusia antara 18 hingga 29 tahun.

Sementara itu, calon termuda ialah Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah, 24, yang mewakili PH di DUN Kuala Linggi.

Secara keseluruhan, PRU DUN Melaka Ke-16 menyaksikan 79 calon daripada pelbagai parti bertanding di 28 kerusi DUN, terdiri daripada 65 lelaki dan 14 wanita.

Pertandingan kali ini menyaksikan 11 kerusi menghadapi saingan dua penjuru, 11 kerusi tiga penjuru dan enam kerusi empat penjuru.

Tempoh rasmi berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga jam 11.59 malam, 13 November ini, sebelum hari pengundian pada 14 November.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

411
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: PENGALAMAN POLITIK ASET RIDHWAN PIMPIN AYER MOLEK – JOHARI
Next post BERBEZA PARTI BUKAN ALASAN PUTUS SILATURAHIM – ALONG