VR, TEKNOLOGI KITAR SEMULA ANTARA INOVASI 62 HAK CIPTA MUCM

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BUKIT KATIL 1 November – Aplikasi pembelajaran berasaskan Realiti Maya (VR) secara gamifikasi serta inovasi teknologi kelestarian alam antara hasil penyelidikan yang menyumbang kepada kejayaan Manipal University College Melaka (MUCM) mendaftarkan 62 hak cipta dalam tempoh sehari.

Kesemua inovasi berkenaan dihasilkan menerusi idea dan kreativiti 27 kakitangan universiti itu, sekali gus membolehkan MUCM menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pemfailan hak cipta tertinggi oleh sebuah universiti dalam tempoh sehari.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) MUCM, Profesor Madya Dr. Anthony V. Samrot berkata, antara inovasi utama yang didaftarkan ialah sistem pembelajaran berasaskan gamifikasi VR yang membolehkan pelajar perubatan meneroka struktur organ manusia secara interaktif dalam persekitaran digital.

“Menerusi inovasi ini, pelajar boleh melihat subjek pembelajaran secara menyeluruh, di mana mereka dapat menyentuh organ secara digital dan mengkaji strukturnya dengan lebih terperinci,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, MUCM turut meneroka pembangunan produk tekstil menggunakan bahan sisa buangan yang terdapat di negara ini sebagai sebahagian daripada usaha menghasilkan inovasi berteraskan kelestarian.

“Kami sedang membangunkan tekstil menggunakan sisa buangan di Malaysia. Bagaimanapun, perincian mengenainya tidak dapat didedahkan buat masa ini kerana ia telah pun dihakciptakan,” jelasnya.

Selain itu, penyelidik MUCM turut menghasilkan inovasi jubin berasaskan resin yang mengandungi bahan sisa buangan sebagai alternatif kepada jubin konvensional pada masa hadapan.

Dr. Anthony berkata, pendaftaran hak cipta itu bukan hanya melibatkan produk fizikal dan teknologi, malah merangkumi hasil pemikiran kreatif dalam bidang akademik seperti pelan serta jadual pengajaran yang dibangunkan tenaga pengajar.

“Ia akan digunakan untuk generasi masa hadapan di mana kami mungkin menjadikannya percuma untuk digunakan, namun ia perlu dinyatakan sebagai hasil keluaran MUCM berbanding berorientasikan wang semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penyelidik muda supaya melindungi idea serta hasil penyelidikan menerusi pendaftaran harta intelek sebelum menerbitkan kertas kajian bagi mengelakkan hasil inovasi mereka digunakan pihak lain tanpa kebenaran.

Bagi memperluas manfaat penyelidikan kepada masyarakat dan alam sekitar, MUCM turut memulakan inisiatif mewujudkan persekitaran kampus sifar plastik sebagai sebahagian daripada komitmen universiti terhadap kelestarian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

561
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: SEJAK 2005 DEKATI RAKYAT, BAN HONG MAHU PACU MASA DEPAN KLEBANG
Next post RM200 JUTA PERKASA PENDIDIKAN, 140,000 ANAK MELAKA TERIMA MANFAAT