
TIDAK LAGI MENYEWA, NOOR JAHAN SYUKUR BERTEDUH DI RUMAH SENDIRI
ASAHAN 1 November – Sukar bagi Noor Jahan Mohamed, 53, mengungkapkan kata-kata untuk menggambarkan kegembiraannya apabila akhirnya dapat mendiami rumah sendiri selepas sebelum ini perlu menyediakan RM500 setiap bulan untuk membayar sewa.
“Rasa lega, alhamdulillah, lega sangat,” ungkapnya ketika berkongsi perasaan menerima kediaman menerusi Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Baru seminggu berpindah bersama keluarga, Noor Jahan berulang kali menzahirkan rasa syukur atas bantuan yang membolehkannya meninggalkan rumah sewa di Taman Bukit Senggeh, Selandar.
“Perasaan saya terlalu gembira. Saya tak tahu apa nak cakap tetapi saya berasa sangat bersyukur dan gembira,” katanya ketika ditemui pada program penyerahan rumah itu di Kampung Jus Permai, di sini, hari ini.
Kediaman yang kini dihuni Noor Jahan bersama suami dan tiga anak mereka itu membawa kelegaan kepada keluarga berkenaan apabila bayaran sewa bulanan tidak lagi perlu ditanggung.
Dalam kegembiraan itu, Noor Jahan turut mengenang bantuan Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan, yang mesra dikenali sebagai Along dalam mengusahakan bantuan kediamannya ketika berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan.
Usaha berkenaan bermula dengan bantuan Fairul Nizam dalam urusan mendapatkan tanah daripada Kerajaan Negeri sebelum permohonan bantuan dikemukakan kepada TNB bagi pembinaan rumah baharu.
Menurut Noor Jahan, Fairul Nizam pernah mengunjunginya sebanyak tiga kali ketika beliau masih tinggal di rumah sewa untuk bertanya khabar dan mengambil tahu keadaannya.
“YB Along yang menguruskannya, menolong saya untuk mendapatkan rumah ini dan urusan perpindahan pula dipermudah dengan bantuan anak-anak, jiran dari kawasan rumah laman yang bersama-sama mengemas dan menyusun kediaman baharu.
“Syukur sangat kepada Allah,” katanya, sambil menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu.
Terdahulu, Fairul Nizam yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan bersama ADUN Peramu Jaya, Datuk Mohamad Nizar Mohd Najib menyantuni keluarga berkenaan selepas penyerahan kediaman itu oleh TNB.
Sementara itu, Pengurus Besar TNB Melaka, Mariati Che Omar berkata, rumah berkenaan dibina dengan kos kira-kira RM90,000 menggunakan peruntukan wakalah daripada zakat TNB yang dibayar kepada Negeri Melaka.
Menurutnya, pembinaan mengambil masa kira-kira sebulan dan merangkumi dua bilik tidur, ruang tamu, bilik air serta dapur, selain dilengkapi perabot asas dan mesin basuh.
Beliau berkata, TNB turut membantu urusan permohonan bekalan elektrik dan air supaya penerima dapat terus mendiami rumah berkenaan.
“Pemilihan penerima dibuat berdasarkan syarat kelayakan dan keperluan mendesak, termasuk dalam kalangan asnaf serta ibu tunggal, dengan pemilikan tanah sendiri menjadi antara syarat pembinaan rumah.
“Kediaman Noor Jahan merupakan rumah ke-45 menerusi inisiatif bantuan perumahan TNB di Melaka sehingga 2026, selain menjadi penyerahan keempat daripada lima rumah bagi tahun ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


