
TOK LI MAHU NAIK TARAF KEMUDAHAN NELAYAN KUALA LINGGI
KUALA LINGGI 1 November – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah, mahu menambah baik kemudahan di jeti Kuala Sungai Baru, sekali gus memberikan keselesaan dan melancarkan lagi urusan nelayan kawasan berkenaan.
Rosli yang juga calon Barisan Nasional (BN) N01 Kuala Linggi berkata, perancangan itu juga akan meningkatkan lagi aspek keselamatan melibatkan bot, kelengkapan menangkap ikan, enjin dan nyawa nelayan itu sendiri.
“Perancangan ini juga pastinya akan mewujudkan satu lagi tarikan pelancongan baharu khusus di Kuala Linggi. Jadi faedahnya bukan sahaja untuk nelayan tetapi pemilik premis perniagaan sekitar.
“Semua ini akan menjadi pelangkin kepada perkembangan ekonomi setempat kerana lokasi jeti yang hampir dengan kawasan perniagaan dan Pasar Awam Kuala Sungai Baru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sembang Santai Nelayan Bersama Calon N01 Datuk Haji Rosli Abdullah di sebuah restoran makanan laut, di sini, hari ini.
Mesra dengan panggilan Tok Li, beliau yang juga calon nombor 3 bagi kerusi DUN Kuala Linggi berkata, kerja-kerja naik taraf dirancang turut melibatkan pembinaan laluan pejalan kaki yang diyakini mampu menggamit kehadiran pengunjung untuk bersantai.
“Lokasi ini menawarkan pemandangan jeti nelayan yang sesuai untuk mereka suka bergambar, kalau mahu beriadah atau mengeluarkan peluh ini adalah tempatnya nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


