PRN MELAKA: ‘14 NOVEMBER HARI JADI RAKYAT’

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KLEBANG 1 November – Tarikh 14 November disifatkan sebagai ‘Hari Jadi Rakyat’ apabila pengundi bakal menentukan hala tuju kepimpinan dan masa depan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, keputusan pengundian kali ini juga menjadi penanda aras penting terhadap kemampuan Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disasarkan.

Menurutnya, BN hanya memerlukan 15 kerusi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, manakala 19 kerusi membolehkan parti memperoleh majoriti dua pertiga.

Beliau berkata, kejayaan mencapai sasaran 21 kerusi akan membolehkan BN membentuk kekuatan politik berdasarkan mandat yang diperoleh menerusi kemenangan di semua kerusi ditandingi.

“Saya dah menggaris pandukan hala tuju pilihan raya Melaka ini 21 kerusi sejak dua tahun dulu. Kalau dapat 21 ini alangkah indah dan bahagianya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir menyemarakkan semangat jentera DUN Klebang di Bilik Gerakan BN Bukit Rambai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu Datuk Rais Yasin; calon BN DUN Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.

Mengulas mengenai kepentingan hari pengundian, Ab Rauf berkata, 14 November merupakan hari rakyat menentukan sendiri kepimpinan yang bakal mencorakkan pembangunan serta masa depan generasi akan datang.

Beliau menyifatkan setiap undi sebagai amanah penting yang mampu menentukan hala tuju negeri untuk tempoh sehingga 20 tahun akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

259
Kongsi :
Previous post TOK LI MAHU NAIK TARAF KEMUDAHAN NELAYAN KUALA LINGGI
Next post MELAKA SASAR GEOPARK KEBANGSAAN PERTAMA ZON SELATAN