PRN MELAKA: RAIS MAHU TANGGA BATU HADIAHKAN EMPAT KERUSI UNTUK BN

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KLEBANG 1 November – Barisan Nasional (BN) dan rakan strategik Perikatan Nasional (PN) meletakkan sasaran menyapu bersih kesemua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, termasuk memastikan kemenangan di DUN Klebang.

Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, kemenangan di keempat-empat kerusi berkenaan amat penting dalam usaha BN membentuk semula Kerajaan Negeri yang stabil.

Menurutnya, kepentingan kawasan Tangga Batu turut dapat dilihat menerusi kehadiran awal kepimpinan tertinggi negeri ke Klebang pada hari pertama kempen selepas penamaan calon, sekali gus memperlihatkan tumpuan diberikan terhadap kawasan berkenaan.

“Baru lagi penamaan calon Ketua Menteri dah datang Klebang dan ini adalah antara tempat awal beliau kunjungi.

“Maksudnya betapa pentingnya untuk kita sumbangkan keempat-empat DUN ini pada 14 hari November nanti,” katanya ketika berucap bersempena lawatan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Bilik Gerakan BN Bukit Rambai, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon BN DUN Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Rais berkata, pengalaman Ban Hong yang telah berkhidmat selama empat penggal di kawasan itu menjadi antara rekod yang perlu dinilai berdasarkan usaha menangani keperluan penduduk setempat.

Katanya, pelbagai isu berkaitan kemudahan infrastruktur termasuk sistem perparitan dan keperluan asas penduduk sentiasa diberikan perhatian sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

“Tadi kita dimaklumkan di Klebang ini dah tak tahu dah longkang mana nak buat, maksudnya alhamdulillah, kebajikan orang Klebang berada dalam keadaan yang terjaga.

“Sudah tentu kita tidak sempurna, ada lagi perkara yang perlu diselesaikan. Tapi bawah kepimpinan Tok Rauf, program Wakil Rakyat Untuk Rakyat dah selesai, kita hanya nak minta rayuan pengundi bagi Datuk Lim satu lagi peluang teruskan legasi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga calon BN DUN Sungai Udang mengingatkan jentera BN di Tangga Batu supaya mempergiat usaha mendekati pengundi di seluruh 24 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memastikan sasaran kemenangan di keempat-empat kerusi DUN dapat dicapai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

432
Kongsi :
Previous post MELAKA SASAR GEOPARK KEBANGSAAN PERTAMA ZON SELATAN
Next post PRN MELAKA: RAMAI MAHU JADI ‘GENG BIRU’ DI KLEBANG