MELAKA SASAR GEOPARK KEBANGSAAN PERTAMA ZON SELATAN

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDA HILIR 1 November – Melaka berpotensi menjadi negeri pertama di Zon Selatan Semenanjung Malaysia yang memperoleh pengiktirafan Geopark Kebangsaan sekiranya berjaya melepasi sesi penilaian yang berlangsung dari 2 hingga 6 November ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka kini memasuki fasa penilaian bagi memperoleh pengiktirafan Geopark Kebangsaan ke-12 di Malaysia menerusi pembangunan Aspiring Melaka Geopark.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja dapat mengangkat martabat khazanah alam negeri, malah membuka dimensi baharu dalam pembangunan sektor pelancongan yang lebih mampan dan bernilai tinggi.

“Semoga usaha ini membuka satu lagi lembaran bersejarah buat Melaka dalam mengangkat martabat khazanah alamnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perasmian Sesi Penilaian Aspiring Melaka Geopark di sebuah hotel di sini, hari ini.

IMG 20261101 WA0033
SALHAH bersama kenamaan yang hadir pada majlis tersebut. Foto Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Datuk Zamri Ramli; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Melaka Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar dan kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, Aspiring Melaka Geopark yang diperakukan pada 30 Julai 2024 dibangunkan meliputi kawasan kira-kira 2,307 kilometer persegi dengan menghimpunkan 29 geotapak berpotensi, sembilan tapak warisan biologi dan 17 tapak warisan budaya.

“Daripada jumlah geotapak ini sebanyak 15 sudah melalui proses pencirian, penilaian dan penarafan bagi memperkukuh asas saintifik pembangunan geopark negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

297
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘14 NOVEMBER HARI JADI RAKYAT’
Next post PRN MELAKA: RAIS MAHU TANGGA BATU HADIAHKAN EMPAT KERUSI UNTUK BN