
LEBIH RM14 JUTA PERKUKUH PEMBANGUNAN MELAKA GEOPARK
BANDA HILIR 1 November – Lebih RM14 juta diperuntukkan dan diluluskan bagi memperkukuh pembangunan Aspiring Melaka Geopark termasuk menyediakan kemudahan pelancongan serta infrastruktur sokongan di beberapa kawasan geotapak di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu merangkumi lebih RM5 juta peruntukan khusus daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta kelulusan lebih RM9 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menurutnya, kelulusan MOTAC itu membabitkan projek pembangunan dan menaik taraf kemudahan pelancongan di beberapa kawasan geotapak.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pembangunan Galeri Digital Melaka Geopark di Banda Hilir selain penyediaan panel informasi serta kemudahan sokongan di lokasi geotapak.
“Kemudahan ini penting bagi mendekatkan masyarakat dengan warisan geologi supaya keistimewaannya dapat dikenali, nilai saintifiknya difahami dan kepentingan pemuliharaannya dihayati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perasmian Sesi Penilaian Aspiring Melaka Geopark di sebuah hotel di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Datuk Zamri Ramli; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Melaka Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar dan kenamaan lain.
Beliau berkata, pembangunan geopark memerlukan komitmen berterusan semua pihak bagi memastikan khazanah alam negeri terus terpelihara seiring usaha memperkembangkan sektor pelancongan.
“Saya yakin, apabila rasa memiliki terus disemai, tanggungjawab memelihara menjadi tekad bersama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

