
PRN MELAKA: 15,000 BENDERA ‘BIRUKAN’ PARLIMEN TANGGA BATU
SUNGAI UDANG 2 November – Sebanyak 15,000 batang buluh diedarkan kepada jentera Barisan Nasional (BN) bagi pemasangan bendera di seluruh Parlimen Tangga Batu, sekali gus menyemarakkan suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Gerak kerja membabitkan jentera Pemuda BN itu meliputi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Udang, Pantai Kundor, Paya Rumput dan Klebang dengan pemasangan disasarkan selesai sebelum hujung minggu ini.
Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, pengedaran 15,000 batang buluh itu menjadi permulaan kepada gerak kerja pemasangan bendera secara menyeluruh di kawasan berkenaan.
“Kita edarkan sejumlah 15,000 batang buluh untuk dibirukan seluruh Parlimen Tangga Batu. Pemuda ini dah lama ‘berdendam’ nak pasang bendera, jadi malam ini kita lepaskan mereka untuk memasang bendera sepuas hati mereka, insya-Allah,” katanya.
Beliau yang juga calon BN DUN Sungai Udang berkata demikian selepas gimik Pelancaran Pemasangan Bendera Jentera Pemuda BN Parlimen Tangga Batu di Pusat Gerakan Parlimen Tangga Batu, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi MCA Melaka merangkap calon BN DUN Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong dan calon BN DUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.
Mengulas mengenai suasana pemasangan bendera yang dilihat masih belum begitu rancak di Melaka selepas proses penamaan calon, Rais berkata, keadaan itu dijangka berubah dalam tempoh dua hingga tiga hari apabila jentera parti masing-masing mula mempergiat gerak kerja kempen.
Menurutnya, pemerhatian di beberapa kawasan dalam Parlimen Tangga Batu mendapati pemasangan bendera parti lain juga masih belum begitu ketara.
“Ramai yang tanya kenapa Melaka masih belum lagi ada perang bendera? Tapi yang sebenarnya di Melaka memang kita macam inilah.
“Dua tiga hari ini kita akan nampak bendera itu di setiap parti politik, tetapi yang mampu saya komen untuk Barisan Nasional, komitmen kita memang sudah bermula dan kita sasarkan dalam tempoh sebelum minggu ini, bendera siap dipasang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan BN tidak menganggap kemenangan pada PRN kali ini sudah terjamin, sebaliknya menyerahkan ketentuan kepada Allah SWT sambil terus mempergiat usaha mendekati pengundi.
“Kami tidak sesekali mengatakan dalam keadaan yakin untuk menang dan sebagainya. Ini semua adalah kuasa Allah SWT,” katanya.
Dalam pada itu, Rais mengingatkan jentera parti supaya memastikan kemeriahan kempen termasuk pemasangan bendera tidak dicemari perbuatan tidak sihat seperti hasad dengki atau menghasut pihak lain.
“Kita berpolitik secara sihat tanpa ada hasad dengki ataupun dalam keadaan hasut-menghasut. Begitu juga dengan keadaan bendera,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


