
ZAHARI TURUN PADANG SETIAP HARI, MUSTAFA SAYU KENANG PERSAHABATAN 20 TAHUN
DURIAN TUNGGAL 6 November – Kesediaan penyandang terdahulu, Datuk Zahari Abd Kalil turun berkempen bersama setiap hari menyentuh perasaan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa yang menyifatkan sokongan sahabat lebih 20 tahun itu sebagai bukti jiwa besar seorang pemimpin.
Mustafa, bertanding sebagai calon nombor satu bagi kerusi N09 Durian Tunggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, berkata hubungan mereka terjalin lama sebelum masing-masing memegang jawatan dan kekal erat sehingga kini.
Menurutnya, beliau memahami kasih penduduk Durian Tunggal terhadap penyandang terdahulu itu yang telah membawa perubahan besar sepanjang berkhidmat di kawasan berkenaan.
“Satu yang sangat membuatkan saya sayu dan bangga ialah kesediaan beliau turun padang setiap hari bersama saya, setiap hari.
“Saya dan Datuk Zahari adalah kawan baik sejak 20 tahun yang lalu. Sebelum YB Zahari ada apa-apa, sebelum saya pun ada apa-apa, kami berkawan. Berkawan sangat baik sehinggalah ke hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni penduduk pada program walkabout di Kampung Padang Keladi, di sini, pada Rabu.
Mustafa menyifatkan kesediaan Zahari membantu kempen sebagai cerminan seorang pemimpin yang memahami amanah parti dan meletakkan kepentingan perjuangan melebihi jawatan.
“Alhamdulillah, kesediaan beliau menunjukkan bukti bahawa beliau seorang pemimpin tulen, pemimpin berjiwa besar, seorang pejuang dan anggota parti yang sangat mengutamakan parti,” katanya.
Mengenai pembangunan Durian Tunggal, Mustafa berkata, usaha yang sedang diproses serta keperluan penduduk yang belum dapat ditunaikan akan terus diperjuangkan sekiranya beliau diberikan mandat.
Katanya, perancangan itu akan dibincangkan bersama kepimpinan setempat, pemimpin masyarakat dan Zahari bagi memastikan pembangunan infrastruktur serta keperluan penduduk diberi perhatian.
“Apa yang sedang diproses, belum dicapai, kita akan perjuangkan untuk sama-sama kita capai dan kita juga akan merangka program-program baru untuk memastikan infrastruktur dan keperluan masyarakat Durian Tunggal dapat kita laksanakan.
“Segala yang telah ada ini ditambah baik dan yang belum tercapai kita pastikan tercapai. Benda-benda baru kita akan perjuangkan bersama, insya-Allah, demi orang Durian Tunggal,” katanya.
Mengulas perjalanan kempen memasuki hari kelima, Mustafa berkata, beliau sudah mengunjungi lebih separuh kawasan di DUN berkenaan, dengan sekurang-kurangnya tiga perjumpaan di cawangan atau Pusat Daerah Mengundi (PDM) diadakan setiap malam.
Menurutnya, kerjasama ketua PDM, kepimpinan cawangan, Pemuda, Wanita, Puteri serta penyandang terdahulu membantu gerak kerja mendekati pengundi menjelang hari pengundian pada 14 November.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


