RAIS TERBAIK, PRIHATIN MASALAH RAKYAT’ – PENDUDUK

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

SUNGAI UDANG 6 November – Keprihatinan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin yang beberapa kali turun padang melihat masalah penduduk mendapat penghargaan masyarakat Kampung Bertam Ulu.

Imam Satu Masjid Kampung Bertam Ulu, Jamaluddin Edar, 72, menyifatkan calon nombor 3 N.11 Sungai Udang itu sebagai pemimpin yang prihatin dan sentiasa mengambil berat permasalahan rakyat, khususnya isu hakisan tebing Sungai Bertam Ulu yang sekian lama membelenggu penduduk.

Dia turut menghargai kesungguhan Rais selaku Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri serta Penyelaras DUN Sungai Udang sebelum ini yang sudah beberapa kali melawat kawasan berkenaan bagi melihat sendiri keadaan serta mendengar keluhan penduduk, selain turut memohon peruntukan bagi menangani isu yang berlaku.

“Keprihatinan Datuk Rais terhadap rakyat sangat baik jika hendak dibandingkan dengan yang lain. Bagi saya, beliau yang terbaik.

“Penduduk di sini sangat gembira dengan perhatian yang diberikan dan kita berharap segala usaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dapat direalisasikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bertam Ulu, di sini.

Menurutnya, lawatan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad bersama Rais ke kawasan berkenaan turut memberi harapan baharu kepada penduduk apabila isu hakisan sungai mendapat perhatian untuk tindakan jangka pendek dan jangka panjang.

Katanya, kejadian banjir besar sebelum ini menyebabkan air naik sehingga ke bahagian belakang rumahnya, sekali gus membuktikan keperluan penyelesaian segera bagi mengelakkan keadaan lebih buruk.

“Ketika banjir besar sebelum ini, air naik sampai ke belakang rumah saya, hampir mencecah tembok. Sebab itu kita amat berharap masalah ini dapat diselesaikan dan saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Rais serta Timbalan Menteri yang turun sendiri melihat keadaan di sini,” katanya.

Tambahnya, kawasan kariah Masjid Kampung Bertam Ulu kini melibatkan kira-kira 8,000 rumah berikutan pembangunan pesat kawasan sekitar, justeru perancangan lebih menyeluruh terhadap sistem saliran dan pengurusan aliran air amat diperlukan.

Dalam pada itu, beliau turut berharap perancangan pembinaan masjid baharu di Bertam Ulu dapat diberi perhatian memandangkan masjid sedia ada sudah berusia kira-kira 104 tahun.

Katanya, tapak seluas kira-kira lima ekar telah dikenal pasti bagi tujuan pembinaan masjid baharu itu untuk menampung keperluan masyarakat Islam yang semakin bertambah di kawasan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

188
Kongsi :
Previous post 27 PENIAGA MEDAN SELERA SAMUDERA NIKMATI SEWAAN PERCUMA DUA BULAN
Next post ZAHARI TURUN PADANG SETIAP HARI, MUSTAFA SAYU KENANG PERSAHABATAN 20 TAHUN