
PRN MELAKA: ANAK MUDA MAHU KECEMERLANGAN PENTADBIRAN AB RAUF DITERUSKAN
SUNGAI UDANG 6 November – Anak muda Melaka mahu melihat kesinambungan kecemerlangan pentadbiran negeri diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh diteruskan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Anak muda Sekolah Patriotik UMNO (SPU) berkata maklum balas positif berhubung kecemerlangan Ab Rauf mentadbir Melaka diperoleh hasil perjumpaan sukarelawan SPU bersama golongan muda khusus pengundi kali pertama.
“Maklum balas yang kita terima daripada anak-anak muda sangat positif kerana mereka ingin melihat kesinambungan kecemerlangan pentadbiran negeri.
“Melaka dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama (Ab Rauf Yusoh) telah menunjukkan prestasi yang sangat baik. Kadar KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) semakin meningkat setiap tahun, pengangguran menurun, ekonomi berkembang, kehadiran pelancong pula meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Santai Anak Muda DUN Sungai Udang di Pusat Gerakan P.136 Parlimen Tangga Batu, di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Pengerusi BN Melaka yang juga calon BN bagi kerusi N.11 Sungai Udang, Datuk Rais Yasin.
Katanya, bersempena PRN Melaka Ke-16 sukarelawan SPU mengambil pendekatan lebih agresif dengan turun padang bagi membantu jentera kempen.
Menurutnya, pendekatan itu amat penting kerana pentas PRN Melaka kali ini merekodkan lebih 60,000 orang pengundi kali pertama.
“Daripada keseluruhan jumlah itu, separuh atau 50 peratus pengundi kali pertama ini sudah disantuni oleh sukarelawan SPU. Kita jumpa secara bersemuka, menerusi panggilan telefon atau menggunakan pendekatan platform dalam talian.
“BN tidak boleh selesa, meskipun pada PRN Melaka Ke-15 kita menang di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi terlepas semua enam parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU).
“Perkara itu perlu dijadikan iktibar. Jangan kita ‘estimate”. Jangan kita terlalu yakin. Ini menunjukkan bahawa pola pengundi itu sangat dinamik, ia boleh berubah pada bila-bila masa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


