
PRN MELAKA: MISI ABDUL HAKIM MAHU NOKTAHKAN ISU BANJIR MASJID TANAH
LENDU 6 November – Isu banjir yang sekian lama membelenggu penduduk sekitar Masjid Tanah terus menjadi perhatian calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N04 Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid yang bertekad mengusahakan penyelesaian lebih menyeluruh sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Calon nombor 1 bagi kerusi DUN berkenaan berkata, meskipun beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan oleh kepimpinan terdahulu bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), termasuk kerja penyelenggaraan serta pembinaan tembok, usaha mencari penyelesaian jangka panjang masih perlu diteruskan.
Menurutnya, kejadian banjir yang dipengaruhi faktor alam sememangnya sukar dijangka, namun langkah sewajarnya perlu diambil bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk terus terpelihara.
“Bila bencana ini berlaku, kita tidak boleh tujukan salah itu kepada sesiapa kerana ia di luar kuasa dan jangkaan kita, semua orang pun tidak mahu banjir berlaku.
“Tetapi sebagai manusia dan pemimpin, sekiranya saya diberi mandat kelak, insya-Allah saya akan teliti dan usahakan apa yang mampu dibantu supaya musibah ini tidak berulang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas menghadiri Program Kacau Wajik Wanita Komuniti Kampung Lendu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Lendu, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Hakim berkata, tanggungjawab wakil rakyat bukan sekadar membawa suara penduduk ke Dewan Undangan Negeri, sebaliknya turut berperanan sebagai penghubung antara masyarakat dengan agensi pelaksana kerajaan bagi memastikan setiap permasalahan mendapat perhatian sewajarnya.
Katanya, pemantauan dan penyelarasan berkesan bersama agensi berkaitan penting bagi memastikan peruntukan pembangunan serta projek tebatan banjir dapat dilaksanakan dengan sebaiknya demi kepentingan penduduk.
Selain isu banjir, beliau turut memberi perhatian kepada keperluan menaik taraf kemudahan infrastruktur di kawasan Lendu, termasuk penyelenggaraan jalan raya dan sistem perparitan yang sering dibangkitkan penduduk.
Beliau berkata, setiap aduan dan keperluan masyarakat perlu diberi perhatian bagi memastikan pembangunan kawasan itu dapat dilaksanakan secara berterusan dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


