PRN MELAKA: ‘KALAU ADO KOCOMASAN ACIK ZUL PALING COPEK SAMPAI’

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

TABOH NANING 6 November – Meskipun Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi penggal terdahulu dibubarkan pada 23 Oktober lalu dan tidak lagi bergelar sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) secara rasmi, penyandang kerusi DUN N05 Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin meneruskan rutin turun padang untuk menyantuni rakyat.

Zulkiflee yang juga calon Barisan Nasional (BN) DUN itu berkata, semuanya dilakukan kerana sudah terbiasa selepas lima tahun berkhidmat kepada penduduk Taboh Naning.

Katanya, dia akan turun padang bagi meninjau sendiri permasalahan, isu atau sebarang kecemasan yang menimpa penduduk di DUN berkenaan tanpa mengira masa, siang atau malam.

“Tak kira masalah besar atau kecil saya akan turun padang kerana sudah terbiasa. Terbaharu saya meninjau keadaan dua kediaman yang mengalami kerosakan akibat ditimpa pokok tumbang, syukur alhamdulillah hanya struktur rumah sahaja terjejas, manakala semua penghuni selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Kehadiran saya adalah untuk membantu memudahkan urusan mereka, apa perlu dilakukan, perlu buat laporan polis atau tidak dan borang perlu dihantar kepada agensi yang mana.

“Alhamdulillah dalam kejadian baru-baru ini Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) juga turun padang bagi melakukan kerja-kerja pembersihan agar tidak membahayakan penghuni, wakil jabatan berkenaan juga diminta menyegerakan bantuan bersesuaian dengan kerosakan berlaku,” katanya.

Calon nombor 2 DUN Taboh Naning ini yang mesra dengan panggilan Acik Zul, menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap sebarang risiko kemalangan mungkin berlaku akibat ketidaktentuan cuaca semasa.

Bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 Zulkiflee yang mewakili BN diberi kepercayaan mempertahankan kerusi itu yang dimenanginya pada pilihan raya 2021.

Dalam saingan tiga penjuru itu Zulkiflee menang majoriti 1,825 undi selepas memperoleh 3,170 undi mengatasi Hashim bin Mohamad / Abu Hashim bin Abdul Samad (PN – PAS) (1,345 undi) dan Zairi bin Suboh (PH – AMANAH) (1,024 undi)

Sementara itu bagi PRN Melaka Ke-16 N05 Taboh Naning merekodkan seramai 11,299 pemilih yang berdaftar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

293
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: MISI ABDUL HAKIM MAHU NOKTAHKAN ISU BANJIR MASJID TANAH
Next post MANIFESTO BN-PN: BIL AIR PERCUMA UNTUK PENGGUNA DOMESTIK BAWAH 20 METER PADU