PRN MELAKA: UNCLE WONG ANGGAP HELMY ‘BFF’, PUJI KEIKHLASANNYA BANTU RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

DUYONG 6 November – Hubungan terjalin sejak lima tahun lalu lebih daripada seorang Yang Berhormat dan rakyat, sebaliknya dianggap cukup akrab meskipun berbeza bangsa dan usia.

Vong Fook Hoi, 88, atau lebih popular dengan panggilan Uncle Wong, menganggap calon Barisan Nasional (BN) bagi N21 Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong iaitu Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem seperti sahabat baiknya.

Uncle Wong berkata, dia mula mengenali Mohd Noor Helmy kira-kira lima tahun lalu dan hubungan mereka semakin rapat sejak itu, meskipun berbeza latar belakang kaum.

Menurutnya, sikap Mohd Noor Helmy yang rajin mendekati masyarakat, mudah bergaul serta sentiasa bersedia membantu penduduk tanpa mengira kaum membuatkan dirinya menghargai kehadiran calon berkenaan.

“Dia amat baik. Orang Cina, Melayu, India pun suka sama dia. Mana-mana orang yang susah, orang tua atau sesiapa yang perlukan bantuan, dia mesti tolong.

“Lima tahun (jadi wakil rakyat Duyong), hari-hari ada. Mana-mana rumah, mana-mana kampung, hari-hari kita boleh nampak dia turun. Buka telefon pun hari-hari nampak dia. Hari ini kampung mana, esok kampung mana, dia berjalan. Dia memang rajin,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Bilik Gerakan BN DUN Duyong, di sini.

Orang lama di DUN Duyong ini berkata, kesungguhan Mohd Noor Helmy membantu penduduk bukan sekadar untuk meraih perhatian, sebaliknya dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Katanya, sikap berkenaan turut membuatkan Mohd Noor Helmy dikenali penduduk di sekitar Duyong, malah beliau sering memberikan maklum balas positif apabila ditanya orang ramai mengenai calon berkenaan.

“Orang Duyong semua tahu hati dia macam mana. Cukup baik. Kalau orang tanya saya macam mana dia, saya cakap dia baik. Saya memang sokong dia,” katanya.

Mengimbas kehidupannya di kawasan itu, Uncle Wong berkata, dia sudah menetap di Seri Duyong sejak berusia enam tahun dan pernah melalui zaman ketika kegiatan penanaman padi masih menjadi antara pekerjaan utama penduduk setempat.

Katanya, kehidupan kini jauh berbeza apabila dia sudah tidak bekerja dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

Mengulas harapannya pada PRN Melaka kali ini, Uncle Wong berharap Mohd Noor Helmy terus diberi mandat untuk berkhidmat kepada masyarakat Duyong.

“Ini kali saya mahu dia lagi duduk sini (jadi wakil rakyat) lima tahun lagi. Kita sangat harap dia menang dan terus jadi pemimpin di Duyong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

277
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ANAK MUDA MAHU KECEMERLANGAN PENTADBIRAN AB RAUF DITERUSKAN
Next post PRN MELAKA: ‘TIGA TAHUN KITA MEMANG SELARI’ – RAIS