
PRN MELAKA: ‘TAK UNDI HELMY, BAIK BENAM KEPALA DALAM TANAH’ – DAK NOR
DUYONG 6 November – “Siapa yang tak undi YB Helmy, baik kau benam kepala dalam tanah,” demikian luahan spontan ‘Dak Nor’ yang menyatakan sokongannya terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.21 Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Dak Nor atau nama sebenarnya Nor Komariah Mohd Khalid Lourdes Lio, 42, berkata, sokongan itu bukan sekadar berdasarkan pengamatannya terhadap khidmat Mohd Noor Helmy sebagai wakil rakyat, sebaliknya turut bersandarkan pengalaman sendiri menerima bantuan ketika berdepan kesusahan.
Menurutnya, Mohd Noor Helmy yang juga calon nombor 2 DUN Duyong bukan sahaja tampil membantu ketika dia melalui detik sukar, malah masih mengambil tahu perkembangan kehidupannya sehingga kini, termasuk urusan rawatan di hospital.
“Dulu masa Nor susah, orang Duyong memang ada membantu dan perkara itu sampai kepada YB Helmy. YB Helmy yang banyak membantu Nor untuk berubah.
“Sampai sekarang pun YB Helmy masih ambil tahu keadaan Nor. Kalau Nor tak pergi hospital atau apa-apa, YB Helmy dapat tahu. Dia memang prihatin,” katanya kepada Melaka Hari Ini di Bilik Gerakan BN DUN Duyong, di sini.
Mengulas lanjut, Dak Nor menyifatkan Mohd Noor Helmy sebagai seorang pemimpin yang jujur dan amanah berdasarkan pengalamannya melihat sendiri keprihatinan calon itu dalam mendekati masyarakat serta membantu penduduk tanpa mengira kaum.
Katanya, Mohd Noor Helmy juga sering turun padang menziarahi penduduk yang berdepan kesusahan, termasuk mangsa banjir dan mereka yang mengalami masalah kesihatan.
Selain itu, dia turut melihat perubahan di Duyong sepanjang tempoh perkhidmatan Helmy, antaranya menerusi penambahbaikan kemudahan awam membabitkan masjid, sekolah, klinik, jalan raya dan sistem perparitan.
Mengakhiri temu bual, Dak Nor sekali lagi menyatakan harapannya agar Mohd Noor Helmy terus diberi mandat untuk berkhidmat kepada masyarakat Duyong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.
Dengan nada berseloroh, dia turut menyampaikan pesanan kepada penduduk yang masih belum membuat keputusan mengenai calon pilihan mereka.
“Orang Duyong, siapa yang tak undi YB Helmy, baik kau benam kepala dalam tanah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


