
PRN MELAKA: ‘TIGA TAHUN KITA MEMANG SELARI’ – RAIS
SUNGAI UDANG 6 November – Pentadbiran Melaka menjalinkan hubungan kerjasama yang amat baik dengan Kerajaan Persekutuan sepanjang tiga tahun lalu demi pembangunan dan kebajikan rakyat, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Rais Yasin.
Rais berkata, pentadbiran negeri sebelum ini menyokong agenda pembangunan dan kebajikan tanpa menjadikan perbezaan pendirian politik sebagai penghalang kerjasama.
“Saya yakin dan percaya selama tiga tahun sebenarnya memang kita selari. Malah dalam kerajaan yang sebelum ini, sebelum keluarnya DAP daripada Kerajaan Negeri Melaka, kita memang bekerja dengan baik.
“Sehaluan atau tidak, bagi saya, kita sentiasa menyokong segala agenda kebajikan ataupun pembangunan, apa yang penting adalah demi manfaat rakyat Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Santai Anak Muda DUN Sungai Udang di Pusat Gerakan P.136 Parlimen Tangga Batu, semalam.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Rais yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.11 Sungai Udang, berkata demikian diminta mengulas berhubung seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pengundi memberikan mandat kepada calon yang mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Terdahulu, Anwar ketika berucap pada Program Jelajah Aspirasi MADANI di Bukit Rambai, Klebang pada 5 November menggesa rakyat Melaka memberikan mandat kepada calon yang mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi meneruskan agenda pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Mengulas lanjut, Rais berkata, kerjasama dalam pentadbiran negeri sebelum ini berlangsung dengan baik sebelum DAP mengambil keputusan untuk keluar susulan ketidaksetujuan mengenai beberapa perkara.
Menurutnya, pentadbiran negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh terus memberikan tumpuan kepada program turun padang bagi mendekati masyarakat.
Beliau mengambil contoh Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) serta Hari Bertemu Rakyat sebagai antara pendekatan menyampaikan perkhidmatan tanpa membezakan latar belakang rakyat.
“Ini semua kita tidak memilih ‘bulu’, kita memang bergerak untuk memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat itu seiring, jadi saya rasa isu itu tidaklah terlalu besar kerana kita memang sentiasa bekerjasama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


