RM2 JUTA TANGANI HAKISAN TEBING SUNGAI BERTAM ULU

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

SUNGAI UDANG 6 November – Peruntukan awal kira-kira RM2 juta akan disalur Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi melaksanakan kerja-kerja jangka pendek menangani masalah hakisan tebing sungai di Kampung Bertam Ulu yang menjejaskan kira-kira 70 rumah penduduk.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, peruntukan itu akan diusahakan menerusi peruntukan baharu pada awal tahun depan bagi melaksanakan kerja-kerja kawalan hakisan.

Jelas beliau, antara kerja yang dicadangkan termasuk penstabilan tebing serta meluruskan sebahagian laluan sungai yang dikenal pasti menyebabkan aliran air menjadi perlahan dan berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berkenaan.

“Untuk jangka masa pendek, kita minta pegawai kanan supaya melihat kerja-kerja yang boleh dilaksanakan dengan kos dianggarkan sekitar RM2 juta melibatkan kerja penstabilan tebing dan meluruskan sedikit bahagian sungai.

“Kita dapati di kawasan ini tiada masalah ‘bottleneck’ atau sekatan pada laluan sungai, cuma terdapat bahagian sungai yang bengkok menyebabkan aliran air perlahan dan boleh mengakibatkan banjir, jadi kita mahu luruskan bentuk sungai ini supaya aliran menjadi lebih lancar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke kawasan terjejas hakisan sungai di Kampung Bertam Ulu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Ir. Mohd Adnan Ahmad Fauzi serta kenamaan lain.

Menurut Abdul Rahman, langkah jangka pendek itu bagaimanapun tidak menjamin kestabilan tebing untuk tempoh panjang berikutan keadaan tanah berpasir di kawasan berkenaan.

Justeru, beliau meminta JPS Melaka menyediakan kertas cadangan menyeluruh bagi penyelesaian jangka panjang yang mampu memastikan kestabilan tebing sungai untuk tempoh 30 hingga 40 tahun.

Katanya, kajian awal itu perlu merangkumi aspek pengambilan tanah, kaedah pelaksanaan kerja serta keperluan peruntukan bagi membolehkan permohonan projek dikemukakan secara teratur kepada kementerian.

“Untuk projek jangka panjang, saya sudah minta Pengarah JPS Negeri Melaka menyediakan satu kertas cadangan supaya kita dapat melihat keperluan pengambilan tanah, jenis kerja yang sesuai dan perkara-perkara awalan yang perlu dilaksanakan.

“Pada masa sama, saya meminta supaya Kerajaan Negeri memberikan keutamaan kepada masalah ini bagi membolehkan proses permohonan dan kelulusan peruntukan dipercepatkan demi kepentingan penduduk,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

296
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘TAK UNDI HELMY, BAIK BENAM KEPALA DALAM TANAH’ – DAK NOR
Next post PRN MELAKA: MISI ABDUL HAKIM MAHU NOKTAHKAN ISU BANJIR MASJID TANAH