MENARA TAMING SARI ‘MESRA POKET’, PELANCONG LUAR TERUJA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 9 November – Tawaran tiket RM10 bagi menikmati pengalaman menaiki Menara Taming Sari menerusi inisiatif Melaka Bila Larut Malam bukan sahaja memberi penjimatan kepada pengunjung, malah menjadi tarikan kepada pelancong dari luar negeri ini.

Pengunjung dari Sendayan, Negeri Sembilan, Nurul Latib, 50, berkata harga istimewa itu amat berbaloi kerana membolehkan lebih ramai keluarga menikmati pengalaman melihat panorama Bandaraya Melaka dari ketinggian 80 meter tanpa perlu mengeluarkan belanja besar.

Menurutnya, tawaran berkenaan wajar diteruskan terutama pada hujung minggu, cuti umum dan musim cuti persekolahan yang lazimnya menjadi pilihan keluarga untuk melancong.

“Saya rasa RM10 ini memang berbaloi, apatah lagi kalau cuti sekolah. Melaka memang menjadi tumpuan pelancong dan apabila harga ditawarkan pada kadar ini, lebih ramai orang dari luar Melaka akan datang ,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu, pengunjung dari Sepang, Selangor, Syahrul Nizam, 43, berkata inisiatif berkenaan memberi penjimatan ketara kepada keluarga besar, khususnya apabila membawa empat anak bersama ibu bapa untuk menikmati tarikan pelancongan itu.

Katanya, perbelanjaan RM60 bagi enam ahli keluarganya dianggap berbaloi berbanding kos yang perlu ditanggung sekiranya membeli tiket pada kadar biasa.

“Kalau saya, anak ramai, ada empat orang. Jadi termasuk ibu bapa, enam orang, jumlahnya RM60 sahaja. Memang berbaloi sebab sebelum ini kalau nak bawa anak-anak naik, kita perlu fikir juga kosnya.

“Saya harap inisiatif seperti ini diteruskan. Kalau boleh, setiap bulan diadakan dua kali inisiatif sebegini supaya lebih ramai dapat menikmatinya,” katanya.

Kedua-dua pengunjung itu turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri, khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh atas inisiatif MeSRa Pelancongan seumpamanya dengan menawarkan harga berpatutan bagi membolehkan lebih ramai pengunjung menikmati produk pelancongan di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

250
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘SATU KESIDANG, SATU HATI’ JADI SLOGAN ALBERT