PELANCONG INDIA TERPESONA MAGIS MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BANDA HILIR 12 November – Keunikan sejarah, kepelbagaian budaya serta sajian makanan yang ditawarkan menjadikan Melaka sebuah destinasi pelancongan menarik di mata pelancong antarabangsa, termasuk dari India.

Pelancong dari India, Vandan, 24, berkata, Melaka menawarkan pengalaman berbeza menerusi keindahan Sungai Melaka, warisan sejarah serta kepelbagaian masyarakat yang mencerminkan keunikan Malaysia.

Menurutnya, pemilihan Melaka sebagai destinasi percutian dibuat selepas melakukan kajian mengenai negeri bersejarah itu, sebelum mengetahui tawaran promosi tiket Melaka River Cruise pada harga RM10 menerusi video Reels di Instagram.

“Saya ternampak beberapa video Reels di Instagram dan disebabkan itu saya membuat pertanyaan mengenai tiket sebelum membelinya di kaunter.

“Saya berasa sangat bertuah kerana dapat menikmati promosi ini. Ia merupakan satu inisiatif yang sangat baik dan mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Vandan berkata, kepelbagaian budaya termasuk masyarakat berbilang kaum serta pilihan makanan daripada pelbagai latar belakang menjadi antara keistimewaan yang wajar diterokai pengunjung.

“Melaka sangat indah dan mempunyai sejarah yang menarik. Pengunjung boleh mengenali pelbagai budaya serta menikmati makanan yang berbeza seperti masakan India dan Cina.

“Selain itu, kehadiran pelancong dari seluruh dunia juga menjadikan Melaka sebuah destinasi yang menarik untuk dikunjungi. Saya berpendapat orang ramai patut datang dan merasai sendiri pengalaman di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

285
Kongsi :
Previous post GELOMBANG BIRU MEMUNCAK, BN-PN YAKIN RAIH KELEBIHAN DI MELAKA