
PRN MELAKA: JADILAH SETIA SEPERTI PENYU DALAM PERJUANGAN – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 10 November – Kesetiaan penyu yang mampu kembali ke lokasi asal selepas dilepaskan dijadikan perumpamaan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh dalam menyeru jentera parti terus mempertahankan perjuangan UMNO dan BN hingga ke generasi akan datang.
Beliau yang juga calon nombor 2 kerusi N.02 Tanjung Bidara berkata, keistimewaan penyu yang mempunyai keupayaan kembali ke kawasan asal untuk bertelur selepas tempoh bertahun-tahun wajar dijadikan teladan dalam mengekalkan kesetiaan terhadap perjuangan yang diwarisi.
Menurutnya, semangat setia kepada perjuangan itu penting bagi memastikan legasi yang dibina sejak generasi terdahulu terus dipertahankan dan diwariskan kepada anak cucu.
“Kalau kita boleh ambil sifat penyu, berketurunan-keturunanlah kita akan kekal mewariskan perjuangan ini kepada anak cucu kita.
“Janganlah kita yang mewarisi perjuangan dan menaungi kaum keluarga kita selama UMNO dan Barisan Nasional menguruskan negeri ini, akhirnya tidak mampu mengekalkan kesetiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pentas Gelombang Biru DUN Tanjung Bidara di Bilik Gerakan BN Pasir Gembur, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap bekas Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim; Ahli Parlimen Pendang merangkap Ahli Majlis Tertinggi PAS, Datuk Haji Awang Hashim serta kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) menerusi Muafakat Melaka pula menjadi landasan untuk kedua-dua parti meneruskan perjuangan bersama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Yang ditunggu telah pun tiba, yang dinanti telah pun sampai, iaitu suatu muafakat dua parti Melayu yang terbesar untuk bergabung bersama-sama berjuang di pentas pilihan raya negeri Melaka yang dipanggil Muafakat Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


