MCA LEBIH BERPOTENSI MENANG, PN SERAH KOTA LAKSAMANA DAN BANDAR HILIR

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PANTAI KUNDOR 10 November – Peluang untuk menang yang lebih cerah menjadi pertimbangan Perikatan Nasional (PN) menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana dan Bandar Hilir kepada Barisan Nasional (BN) untuk ditandingi MCA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata keputusan itu dibuat selepas gabungan berkenaan menilai demografi kawasan dan mendapati MCA mempunyai peluang lebih baik untuk memenangi kedua-dua kerusi itu.

Menurut beliau, PN pada asalnya diperuntukkan tujuh kerusi menerusi pembahagian dengan BN sebelum dua daripadanya diserahkan semula atas pertimbangan berkenaan.

“Kami pada asalnya diberikan tujuh kerusi, tujuh kerusi oleh Barisan Nasional.

“Tapi apabila kami melihat demografi tempat-tempat yang tertentu itu, parti yang lebih mempunyai peluang, ‘have a better chance’ untuk menang ialah bukan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pentas Gelombang Biru N.12 Pantai Kundor di Bilik Gerakan Barisan Nasional DUN Pantai Kundor, Taman Tangga Batu Perdana, di sini, semalam.

Takiyuddin berkata, kesediaan menyerahkan semula kerusi itu mencerminkan semangat setiakawan antara PN dengan BN dalam menghadapi pilihan raya.

“Oleh sebab itu kami serahkan balik dua kerusi, Kota Laksamana dan juga Bandar Hilir kepada BN. BN beri kepada MCA. Jadi, MCA ‘have a better chance’ untuk menang,” katanya.

Beliau turut melihat kemungkinan MCA mencipta kejutan di kedua-dua kawasan berkenaan berdasarkan pertimbangan peluang kemenangan itu.

“Tidak satu yang mengejutkan kalau MCA boleh buat satu kejutan di Kota Laksamana dengan Bandar Hilir,” katanya.

Mengulas peluang keseluruhan kerjasama BN dan PN, Takiyuddin optimis 21 kerusi yang disasarkan untuk dipertahankan dapat dikekalkan, dengan PN menyumbang sekurang-kurangnya tiga atau empat kerusi lagi.

“Insya-Allah boleh dipertahankan dan kami merasa optimis. Kami juga boleh menyumbang paling kurang tiga ataupun empat kerusi,” katanya sambil menjangkakan kemenangan keseluruhan antara 24 hingga 25 kerusi.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan keyakinan berkenaan berdasarkan penilaian semasa kempen, dengan menyatakan: “Pada ketika ini kita nampak tidak ada halangan yang besar.”

Untuk rekod, penyerahan semula Kota Laksamana dan Bandar Hilir menjadikan BN bertanding di 23 kerusi termasuk empat menerusi MCA manakala PN bertanding di lima kerusi pada PRN Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

178
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: JADILAH SETIA SEPERTI PENYU DALAM PERJUANGAN – AB RAUF
Next post PRN MELAKA: ‘WINNING MENTALITY’ GELOMBANG BIRU PADA TAHAP TINGGI – AB RAUF