
AHLI PAS WAJIB UNDI BN DI KERUSI TIDAK DITANDINGI PN – TAKIYUDDIN
PANTAI KUNDOR 10 November – Ahli PAS wajib mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, selaras arahan kepimpinan parti susulan kerjasama strategik kedua-dua gabungan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, arahan menyokong calon rakan strategik itu bukan perkara baharu, sebaliknya pernah dilaksanakan pada pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, ahli perlu memberikan sokongan kepada calon PN di kawasan yang ditandingi gabungan itu, manakala undi diberikan kepada BN di kawasan lain.
“Kita telah memberi arahan kepada ahli-ahli kita mengundi untuk PN di tempat yang kami bertanding.
“Kemudian di tempat yang PN tidak bertanding, kita menyokong BN menentang Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pentas Gelombang Biru N.12 Pantai Kundor di Bilik Gerakan BN DUN Pantai Kundor, Taman Tangga Batu Perdana, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Pengarah Pilihan Raya BN DUN Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan dan calon BN kerusi berkenaan, Datuk Tuminah Kadi.
Takiyuddin berkata, Presiden PAS sendiri pernah mengeluarkan arahan mewajibkan ahli parti menyokong calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN di Negeri Sembilan.
“Di Negeri Sembilan, sudah tentulah di semua tempat yang kami tidak bertanding, diwajibkan, ini Presiden PAS sendiri mewajibkan semua ahli PAS menyokong Barisan Nasional.
“Jadi, tidak baharulah di Negeri Melaka ini. Saya mengulangi apa yang telah diarahkan sebelum daripada ini,” katanya.
Mengambil Pantai Kundor sebagai contoh, beliau berkata, pendirian itu terpakai dalam pertembungan dua penjuru antara calon BN dengan Bersatu di kawasan berkenaan.
“Apalagi dalam kes ini, bertanding dua penjuru, ‘straight fight’ antara BN dengan BERSATU.
“Sudah tentulah wajib kepada ahli parti di Pantai Kundor mengundi calon BN di Pantai Kundor,” katanya.
Beliau turut menjelaskan Bersatu menggunakan logo parti sendiri pada pilihan raya berkenaan, berbeza dengan calon yang bertanding mewakili PN.
“Kami Perikatan Nasional, dia menggunakan logo Bunga Raya dan itu adalah parti mereka sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


