PRN MELAKA: KAMPUNG DIGITAL IDEA ‘BUDAK TANJUNG BIDARA’ KINI DIIKTIRAF DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

TANJUNG BIDARA 10 November – Bermula sebagai cetusan idea anak jati Tanjung Bidara yang mentadbir Negeri Melaka, inisiatif Kampung Digital kini menjadi antara pendekatan pengurusan masyarakat yang mendapat pengiktirafan di peringkat dunia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif yang diperkenalkan sebagai projek perintis di Tanjung Bidara itu kini telah diperluaskan ke seluruh negeri dan diadaptasi di peringkat nasional.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, Kampung Digital bukan sekadar menyelaraskan alamat kediaman penduduk, malah menyediakan sistem lebih teratur menerusi penggunaan kod QR bagi memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan termasuk bantuan kecemasan.

Menurutnya, sistem itu membolehkan pihak polis, bomba dan ambulans mengenal pasti lokasi kediaman dengan lebih tepat, sekali gus mengelakkan kekeliruan yang sering berlaku apabila alamat tradisional sukar dikenal pasti.

“Rumah kita dah ada QR code. Satu hari nanti, apabila kita telefon bomba kerana rumah terbakar atau hubungi ambulans kerana kecemasan, mereka boleh mengenal pasti lokasi rumah kita dengan lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pentas Gelombang Biru DUN Tanjung Bidara di Bilik Gerakan BN Pasir Gembur, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap bekas Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim serta Ahli Parlimen Pendang yang juga Ahli Majlis Syura PAS, Datuk Haji Awang Hashim.

Ab Rauf berkata, kaedah itu juga menjadi penyelesaian terhadap masalah sistem alamat kampung yang sebelum ini bergantung kepada nama, gelaran atau panduan penduduk setempat.

“Kerajaan yang saya pimpin tidak boleh sekadar membiarkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat berada pada tahap purba. Sebab itu kita olah dan selaraskan alamat kampung ini bermula daripada zon Tanjung Bidara sebagai kawasan perintis Kampung Digital,” katanya.

Menurutnya inisiatif itu kemudiannya terus berkembang dengan memperkenalkan e-mel domain @melaka.my dan seterusnya Kubur Digital, QR Tagging Haiwan Ternakan serta lain-lain lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

109
Kongsi :
Previous post AHLI PAS WAJIB UNDI BN DI KERUSI TIDAK DITANDINGI PN – TAKIYUDDIN
Next post FOKUS GERAKKAN PENGUNDI MAMPU TERJEMAH KEMENANGAN BN-PN – ASYRAF WAJDI