FOKUS GERAKKAN PENGUNDI MAMPU TERJEMAH KEMENANGAN BN-PN – ASYRAF WAJDI

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

PANTAI KUNDOR 10 November – Jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu menumpukan usaha menggerakkan pengundi keluar ke pusat mengundi bagi memastikan kempen bersama diterjemahkan kepada kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penyelarasan kedua-dua jentera semakin tersusun memasuki minggu kedua kempen, termasuk pergerakan bersama Wanita dan Muslimat dari rumah ke rumah.

Menurut beliau, perkembangan itu merupakan petanda positif, namun keupayaan memastikan pengundi menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian menjadi perkara lebih mustahak.

“Kempen itu satu hal tetapi mengeluarkan pengundi daripada rumah masing-masing untuk pergi ke pusat mengundi, yang itu yang lebih mustahak.

“Yang itu kekuatan yang ada pada kedua-dua parti, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan ceramah sempena Pentas Gelombang Biru N.12 Pantai Kundor di Bilik Gerakan Barisan Nasional DUN Pantai Kundor, Taman Tangga Batu Perdana, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengarah Pilihan Raya BN DUN Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan dan calon BN kerusi berkenaan, Datuk Tuminah Kadi.

Asyraf Wajdi berkata, arahan supaya ahli memberikan sokongan kepada calon BN dan PN sudah ditegaskan kepimpinan, termasuk Presiden PAS serta Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun, katanya, arahan itu perlu diterjemahkan melalui gerak kerja bersama pada peringkat akar umbi.

“Memang yang paling penting sekali kita nak melihat terjemahannya dalam gerak kerja di peringkat bawah.

“Mungkin sehari dua hari yang pertama itu malu-malu masing-masing, tetapi saya melihat masuk minggu yang kedua ini kita dapat lihat penyelarasan itu lebih tersusun,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan BN, beliau menyatakan keyakinan terhadap peluang gabungan itu, namun mengingatkan jentera supaya tidak terlalu yakin sehingga mengendurkan usaha.

“Alhamdulillah kita yakin, tapi jangan terlalu ‘overconfident’, dan jangan pula kita angkuh dan sombong.

“Yang pentingnya kita harus bekerja berterusan sehingga hari yang terakhir dan jam yang terakhir,” katanya.

Mengulas perbezaan antara parti sebelum ini, Asyraf Wajdi berkata, kedua-dua pihak sepakat untuk membiarkan perkara lalu berlalu dan bergerak ke hadapan dalam mengukuhkan permuafakatan.

Menurut beliau, usaha membangkitkan pertelingkahan lama tidak menjejaskan tumpuan kepimpinan serta jentera terhadap kerjasama yang sedang dilaksanakan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan BN dan PN supaya mengekalkan pendekatan kempen berhemah meskipun berdepan kritikan pihak lawan.

“Yang pentingnya Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, kita kena kekal dengan cara kempen kita yang berhemah, beradab, tanpa perlu kita menyentuh dan memaki hamun pihak yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

111
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: KAMPUNG DIGITAL IDEA ‘BUDAK TANJUNG BIDARA’ KINI DIIKTIRAF DUNIA
Next post PRN MELAKA: AB RAUF INGATKAN JANGAN TERSILAP PILIH