
PRN MELAKA: AB RAUF INGATKAN JANGAN TERSILAP PILIH
TANJUNG BIDARA 10 November – Pilihan yang dibuat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini bukan sekadar menentukan hala tuju negeri, malah bakal memberi kesan kepada masa depan generasi muda dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, rakyat perlu melihat kepentingan jangka panjang dalam menentukan kepimpinan negeri kerana keputusan tersebut akan turut dirasai oleh generasi akan datang.
Menurutnya, anak-anak yang masih kecil ketika ini bakal menjadi golongan dewasa yang akan mewarisi pentadbiran dan pembangunan negeri dalam tempoh dua dekad lagi.
“Yang ada masa depan ialah anak-anak kita yang di rumah ini, umur 10, 15, 20 tahun.
“20 tahun lagi, budak umur 20 tahun di rumah akan berusia 40 tahun. Kalau tersilap pada hari Sabtu ini, apa akan jadi kepada Negeri Melaka dalam tempoh 20 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pentas Gelombang Biru DUN Tanjung Bidara di Bilik Gerakan BN Pasir Gembur, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap bekas Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim; Ahli Parlimen Pendang merangkap Ahli Majlis Tertinggi PAS, Datuk Haji Awang Hashim serta kenamaan lain.
Dalam ucapannya, Ab Rauf turut menegaskan kepentingan mempertahankan kedudukan politik BN bersama rakan strategik Perikatan Nasional (PN) di Melaka dalam PRN kali ini.
“Kita tidak mampu kalah di Melaka ini. Gabungan ini menunjukkan satu gagasan yang kuat.
“Menang di Melaka, jambatan menuju ke Putrajaya terbuka luas untuk kita kembali berkuasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


