PN KUMPUL BUKTI, TINDAKAN TERHADAP BERSATU SELEPAS PRN

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

PANTAI KUNDOR 10 November – Perikatan Nasional (PN) sudah mengumpulkan bukti bagi mengambil tindakan tatatertib terhadap BERSATU selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan tindakan parti itu bertanding menentang calon PN dan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut membangkitkan aduan BERSATU kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) ketika diminta mengulas pendirian Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berhubung tindakan berkenaan.

“‘The fact that’ dia membuat aduan kepada RoS. Aduan sehingga PN dibatalkan, bukan sahaja digantung, mula digantung, dibatalkan (pendaftaran),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas memberi ceramah pada Pentas Gelombang Biru N.12 Pantai Kundor di Bilik Gerakan Barisan Nasional DUN Pantai Kundor, Taman Tangga Batu Perdana, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Pengarah Pilihan Raya BN DUN Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan dan calon BN kerusi berkenaan, Datuk Tuminah Kadi.

Terdahulu, media melaporkan Tun Faisal dilaporkan mencabar kepimpinan PN membuktikan PAS tidak melanggar perlembagaan gabungan atau menafikan hak Bersatu sebagai parti anggota sebelum mengambil tindakan tatatertib terhadap parti itu.

Mengulas pertembungan pada PRN Melaka, Takiyuddin menyifatkan tindakan Bersatu menentang calon PN serta BN selaku rakan kerjasama gabungan itu sebagai kesalahan disiplin yang serius.

“Fakta bahawa mereka ini bertanding melawan PN dan juga BN, itu adalah satu kesalahan yang paling besar.

“Misalnya di Bemban, dia berlawan dengan PN, di Pantai Kundor dan juga tempat-tempat lain mereka berlawan dengan BN.

“Itu adalah satu kesalahan disiplin yang paling serius dalam mana-mana organisasi, jadi, sebagaimana pengerusi PN sebut, kita akan mengambil tindakan,” katanya.

Ditanya mengenai bahan bukti bagi menyokong tindakan itu, beliau menegaskan bukti sudah dikumpulkan, namun tidak memperincikan bentuk hukuman yang mungkin dikenakan.

“Ya, semua dah ada bukti yang dikumpulkan, dah banyak, terlalu banyak,” katanya.

Untuk rekod, PN pada 25 Oktober lalu mengumumkan keputusan Majlis Tertingginya untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap Bersatu mengikut Fasal 15 Perlembagaan PN kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan gabungan itu.

Dalam pengumuman berkenaan, Takiyuddin memaklumkan Bersatu akan diberikan tempoh mencukupi untuk menjawab pertuduhan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil, sekali gus memberi ruang kepada parti itu mengemukakan penjelasannya.

TAKIYUDDIN berucap pada

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AB RAUF INGATKAN JANGAN TERSILAP PILIH