HORMATI PENGAMPUNAN NAJIB, JANGAN ADA TAKTIK MELENGAHKAN – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PANTAI KUNDOR 10 November – UMNO tidak mahu pelaksanaan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilengahkan menerusi sebarang tindakan yang boleh menyebabkan proses berkenaan tertangguh.

Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan pengampunan yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan perlu dihormati dan dipatuhi selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara telah mengemukakan permohonan kepada mahkamah hari ini bagi mendapatkan interpretasi terhadap keputusan Lembaga Pengampunan, selain memohon supaya satu proses semakan dilakukan.

Menurutnya, perkara berkenaan kini diserahkan kepada pihak mahkamah untuk diputuskan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Di dalam perkara itu, saya fikir pendirian kita, kita tidak mahu ada penangguhan taktik yang dilakukan untuk melengah-lengahkan dan melambatkan pelaksanaan kepada pengampunan yang telah diberikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini berhubung pelaksanaan pengampunan Najib pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bersama Kepimpinan Tertinggi di Puteri Qashrina Chalet, Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Abdul Kahar Abdullah; Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man; calon Barisan Nasional (BN) N.11 Sungai Udang, Datuk Rais Yasin; calon BN N.12 Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta kenamaan lain.

Ahmad Zahid berkata, Jabatan Peguam Negara juga mempunyai fungsi untuk mentafsirkan peruntukan undang-undang negara, termasuk perkara berkaitan kuasa dan hak Yang di-Pertuan Agong sebagai Pengerusi Lembaga Pengampunan.

Katanya, semua perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dan dipatuhi sepenuhnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

135
Kongsi :
Previous post NAJIB DIPERINTAH JALANI BAKI HUKUMAN PENJARA KES SRC DI RUMAH
Next post PRN MELAKA: TOK RAUF INGATKAN PENGUNDI NILAI KEMATANGAN CALON