
PRN MELAKA: RIDHWAN PERGIAT KEMPEN SAAT AKHIR, SANTUNI HAMPIR SEMUA LOKALITI AYER MOLEK
AYER MOLEK 12 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali mempergiat gerak kerja kempen pada saat akhir dengan menyantuni penduduk di hampir semua lokaliti dalam kawasan berkenaan menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Mohd Ridhwan yang juga Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya berkata, jentera parti dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi membolehkan lebih ramai pengundi didekati dalam tempoh dua hari terakhir berkempen.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan beliau bersama jentera parti memasuki kampung-kampung untuk bertemu penduduk secara bersemuka, selain meraih sokongan terhadap BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
“Berdasarkan pecahan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan lokaliti, hampir semua kawasan sudah dikunjungi, namun usaha menyantuni keseluruhan pengundi masih diteruskan.
“Ketika ini terdapat kira-kira 25,000 pengundi di DUN Ayer Molek dan bukan mudah untuk bertemu mereka seorang demi seorang, tetapi kita cuba lakukan yang terbaik menerusi gerak kerja secara berkumpulan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada sesi walkabout di Kampung Balik Bukit, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, pecutan kempen pada saat akhir itu turut memberi ruang kepada jentera parti untuk mendengar sendiri pandangan serta maklum balas penduduk di setiap lokaliti.
“Menerusi pecutan terakhir ini, kita tetap mahu memberi ruang kepada jentera parti mendengar sendiri pandangan serta maklum balas penduduk,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


