PRN MELAKA: ‘BIRU PEKAT, BIRU CERAH’ KETEPI PERBEZAAN, BN-PN BERGERAK SEPASUKAN

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

PENGKALAN BATU 12 November – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengetepikan perbezaan politik lampau dengan menggabungkan kekuatan menerusi kerjasama yang disifatkan sebagai gabungan ‘biru pekat dan biru cerah’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu memperlihatkan keserasian baharu apabila kedua-dua parti yang sebelum ini bersaing kini bergerak sebagai satu pasukan dalam menghadapi pilihan raya negeri.

Beliau berkata, kerjasama berkenaan menjadi perkembangan penting dalam landskap politik Melaka, selain meneruskan keserasian yang telah dibina antara BN dan PN di Negeri Sembilan sebelum ini.

“Inilah kali pertamanya biru pekat dan biru cerah bersama-sama di dalam Pilihan Raya Negeri di Melaka ini.

“Dulu mereka alah tengok warna merah kita. Kita pun alah tengok warna hijau.

“Tapi sekarang ini ada biru pekat, ada biru cerah, kita ketepikan perbezaan di kalangan kita, kita bergerak sebagai satu pasukan untuk Pilihan Raya Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Pengundi India Muslim di Bilik Gerakan Pengkalan Batu Masjid An-Nur, Peringgit, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Presiden KIMMA, Datuk Syed Ibrahim Kader; Pengerusi Badan Perhubungan KIMMA Negeri Melaka, Mazvin Jahabardeen; calon BN DUN Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood; calon BN DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; calon PN DUN Bukit Katil Ridzuan Sarif serta calon PN DUN Ayer Keroh, Datuk Michael Gan.

Ahmad Zahid berkata, keserasian yang dibentuk antara kedua-dua parti perlu diterjemahkan menerusi gerak kerja bersama bagi memastikan calon yang diketengahkan mendapat sokongan rakyat.

Menurutnya, kerjasama itu juga perlu dilihat sebagai usaha menyatukan kekuatan jentera tanpa menjadikan perbezaan politik terdahulu sebagai penghalang.

Beliau secara khusus menyeru jentera BN dan PN memastikan kemenangan semua calon yang bertanding di kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya kerana yakin mereka mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk setempat.

“Jadi, jika semangat ini kita terjemahkan di Hang Tuah Jaya ini kerana kita bertanding di Hang Tuah Jaya ini dengan meletakkan calon-calon yang berkaliber yang akan mewakili Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

“Kita pastikan kemenangan semua calon ini kerana kami yakin jika mereka dipilih, mereka akan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk seluruh kawasan Hang Tuah Jaya ini, insya-Allah,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyifatkan kerjasama di Melaka sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan BN dan PN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau berharap perkembangan politik di Melaka dapat menjadi gambaran kepada kerjasama lebih luas yang ingin dibentuk kedua-dua parti pada peringkat nasional.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

180
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN HARGAI PERANAN KIMMA GERAK SOKONGAN INDIA MUSLIM