PRN MELAKA: BN HARGAI PERANAN KIMMA GERAK SOKONGAN INDIA MUSLIM

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PENGKALAN BATU 12 November – Hubungan lebih 30 tahun antara Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) dan UMNO terus diperkukuh apabila organisasi itu komited membantu menggerakkan sokongan masyarakat India Muslim kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, KIMMA yang merupakan parti bersekutu UMNO mempunyai peranan tersendiri dalam mengumpulkan sokongan masyarakat India Muslim, khususnya sepanjang tempoh kempen pilihan raya.

Menurutnya, kerjasama yang terjalin sejak lebih tiga dekad itu memperlihatkan hubungan erat KIMMA dalam mendukung UMNO dan BN, sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

“KIMMA adalah sebuah parti, parti yang bersama-sama dengan UMNO. Mereka adalah parti bersekutu UMNO, telah lebih 30 tahun mereka bersama-sama dengan UMNO.

“Ertinya, kalau mereka dengan UMNO secara automatik mereka adalah juga parti di bawah Barisan Nasional,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Pengundi India Muslim di Bilik Gerakan Pengkalan Batu Masjid An-Nur, Peringgit, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Presiden KIMMA, Datuk Syed Ibrahim Kader; Pengerusi Badan Perhubungan KIMMA Negeri Melaka, Mazvin Jahabardeen; calon BN DUN Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood; calon BN DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; calon PN DUN Bukit Katil Ridzuan Sarif serta calon PN DUN Ayer Keroh, Datuk Michael Gan.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, KIMMA turut memainkan peranan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) dan pilihan raya negeri menerusi usaha mendekati serta mengumpulkan pengundi India Muslim bagi menyokong calon BN.

“Kita lihat di mana-mana kempen Pilihan Raya Kecil atau kempen Pilihan Raya di peringkat negeri, KIMMA mempunyai tekad sendiri dan berusaha untuk mengumpulkan pengundi-pengundi India Muslim bagi menyokong calon-calon BN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan KIMMA yang menganjurkan pertemuan bersama pengundi India Muslim di Melaka, sekali gus memberi peluang kepada beliau bertemu dan berinteraksi secara langsung dengan komuniti berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

102
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘KENAPA ISU HANYA TIMBUL SELEPAS DUA BULAN?’ – ISMAIL SABRI