PRN MELAKA: BEZA PENDIRIAN POLITIK, TIDAK JEJAS KERJASAMA NASIONAL – ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER MOLEK 12 November – Perbezaan pendirian politik Barisan Nasional (BN) dengan parti lain di peringkat negeri tidak bermakna gabungan itu menolak atau tidak menyokong kepimpinan Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian BN di beberapa negeri termasuk Johor dan Negeri Sembilan merupakan hak parti di peringkat negeri dan tidak menjejaskan kerjasama di peringkat Persekutuan.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, sokongan gabungan itu terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dasar Kerajaan Persekutuan kekal utuh.

“Sokongan BN terhadap kerajaan Persekutuan kekal jelas apabila tiada menteri daripada parti itu pernah menyatakan ketidaksetujuan terhadap dasar kerajaan ketika mesyuarat Jemaah Menteri berlangsung.

“Ini lebih terang dan nyata kerana ketika mesyuarat Jemaah Menteri, tidak pernah ada menteri BN yang tidak bersetuju dengan dasar kerajaan Persekutuan. Memang betul di peringkat negeri sama ada di Johor, Negeri Sembilan atau Melaka kita tidak sehaluan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Melaka 2026 di sebuah dewan, di sini, hari ini.

Mengulas cabaran oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya tidak sehaluan dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan, Ahmad Zahid menegaskan tiada keperluan untuknya berbuat demikian.

“Jadi, jika beliau menyatakan perkara itu patut dibuat, buatlah sebagaimana Setiausaha Agung partinya (Anthony Loke). Jangan letak jawatan macam gila talak pula, kita tidak mahu gila talak macam mereka,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Gobind mencabar Ahmad Zahid supaya meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada, berbanding mendesak supaya Parlimen dibubarkan lebih awal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

160
Kongsi :
Previous post MAIM ANJUR KHATAN PERCUMA UNTUK ANAK ASNAF ALOR GAJAH