PRN MELAKA: BN HARAP SOKONGAN PENGUNDI CINA MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER MOLEK 12 November – Barisan Nasional (BN) berharap sokongan pengundi Cina di Melaka meningkat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 menerusi komitmen untuk membantu golongan itu berdepan cabaran dalam sektor ekonomi dan perniagaan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi golongan peniaga ketika ini berdasarkan maklum balas diterima daripada pemain industri dan tokoh korporat.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN mahu mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih baik bagi memudahkan golongan berkenaan menjalankan aktiviti ekonomi serta menguruskan urusan harian.

“Rata-rata golongan perniagaan merasakan agak sukar untuk mereka berniaga sekarang ini. Tokoh-tokoh korporat juga menyatakan perkara yang sama.

“Jadi kita cuma mengharapkan jika mereka memberikan kepercayaan kepada kita, kita akan lakukan yang terbaik untuk memudahkan mereka berniaga dan menjalankan urusan harian dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Melaka 2026 di sebuah dewan di Jalan Tambak Paya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, BN menghargai sokongan yang diberikan pengundi dalam kalangan masyarakat Cina sebelum ini dan berharap kepercayaan itu dapat dipertingkatkan pada PRN kali ini.

“BN amat menghargai sokongan yang diberikan pengundi dalam kalangan masyarakat Cina sebelum ini.

“Kita berharap kepercayaan yang diberikan ini dapat diterjemahkan menerusi peningkatan sokongan masyarakat Cina kepada BN pada PRN Melaka Ke-16 kali ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

145
Kongsi :
Previous post BN YAKIN MENANG BESAR, KERJASAMA PN SATUKAN UNDI MELAYU – ISMAIL SABRI