PRN MELAKA: AZRIL YAKIN MOMENTUM KEMPEN POSITIF, SERU PENGUNDI REMBIA PILIH ‘BIRU’

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

REMBIA 13 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.06 Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz yakin momentum positif kempen yang digerakkan sepanjang tempoh berkempen mampu diterjemahkan kepada sokongan pengundi pada hari pengundian esok.

Calon nombor 2 itu menyifatkan perkembangan kempen pada hari terakhir sebagai memberangsangkan, selain yakin jentera parti akan terus bekerja keras sehingga saat akhir bagi memastikan seramai mungkin pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata, sebahagian besar pengundi berjaya disantuni menerusi pendekatan dari rumah ke rumah.

“Perkembangan hari terakhir cukup positif dan saya lihat jentera serta pengundi kebanyakannya kita sudah santuni. Walaupun semuanya tidak dapat kita santuni secara menyeluruh, saya minta maaf kepada semua pengundi dan rumah-rumah yang saya tak mampu santuni.

“Namun, saya harapkan mereka semua akan keluar mengundi dan memilih calon nombor 2 Barisan Nasional. Saya cukup yakin dan positif yang jentera-jentera akan keluarkan pengundi sebanyak mungkin esok,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan Walkabout di Taman Kelemak Perdana, di sini, hari ini.

Mengulas peluangnya sekiranya diberi mandat, Azril berkata beliau komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh penduduk DUN Rembia, selain menegaskan BN mempunyai rekod dalam memperjuangkan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi.

“Kenapa perlu undi saya? Kerana Barisan Nasional dah tentunya membela rakyat. Pilihlah Azril Aziz, calon 02 DUN Rembia. Tentunya insya-Allah saya akan memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk semua, khususnya warga Rembia bertepatan dengan semangat Semarak Rembia, Keluarga Kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

162
Kongsi :
Previous post UNDI ANDA PENENTU MASA DEPAN KLEBANG – BAN HONG
Next post PRN MELAKA: MISI BAWA KELUAR PENGUNDI PUTIH, RAIS TIDAK MAHU JENTERA ALPA