
KEPUTUSAN PRN MELAKA TIDAK GUGAT PUTRAJAYA – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 13 November – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak dilihat akan menggugat kedudukan Kerajaan Persekutuan ketika ini, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
Beliau yang juga calon nombor 2 bagi kerusi N.02 Tanjung Bidara berkata, setakat ini tiada sebarang signal menunjukkan bahawa keputusan pilihan raya di Melaka akan menggugat kestabilan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.
“Setakat ini, saya tidak melihat sebarang reaksi yang boleh menggugat Kerajaan Persekutuan ketika ini. Ia bergantung kepada persepsi setiap rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Flashmob Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 di Villa d’Acqua, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ab Rauf berkata, jika keputusan positif dicapai gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) di Melaka, ia tidak mustahil memberikan gambaran jelas mengenai penerimaan rakyat terhadap kerjasama politik itu menjelang pilihan raya umum akan datang.
“Jika Melaka menyumbang keputusan yang baik kepada kemenangan gabungan dalam pilihan raya ini, mungkin akan timbul ramalan mengenai kerajaan baharu selepas pilihan raya akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

