
PRN MELAKA: FAIRUL NIZAM MAHU SEMANGAT KEKELUARGAAN TERUS SUBUR DI ASAHAN
ASAHAN 13 November – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan mahu meneruskan kesinambungan khidmat kepada masyarakat dengan mengekalkan semangat kekeluargaan yang dibina sepanjang empat tahun menjadi wakil rakyat kawasan itu.
Calon Barisan Nasional (BN) nombor satu itu berkata, hubungan erat yang dibina bersama penduduk sepanjang tempoh itu menjadi antara perkara yang mahu diteruskan, selain memperkukuh kerjasama bagi memastikan kebajikan dan kepentingan masyarakat setempat terus diberi perhatian.
“Saya berasa syukur kerana penerimaan pengundi untuk saya untuk penggal kedua ini amat positif berdasarkan rekod perkhidmatan yang telah saya laksanakan selama empat tahun bersama pasukan.
“Saya berharap dengan kemesraan yang telah kita wujudkan sebagai satu keluarga ini akan dikekalkan serta ditambah baik pada masa akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini, selepas menyantuni peduduk di Pekan Asahan, di sini, hari ini.
Fairul Nizam yang juga, Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah berkata, meskipun berdepan cabaran cuaca tidak menentu sepanjang tempoh berkempen, beliau tetap bersemangat kerana mendapat sokongan padu serta komitmen tinggi daripada jentera pilihan raya yang sentiasa memberikan kerjasama serta sokongan dalam memastikan kelancaran kempen.
“Cabaran utama sepanjang tempoh 14 hari berkempen adalah keadaan cuaca yang tidak menentu, apabila cuaca panas terik pada sebelah pagi hingga tengah hari sebelum hujan lebat sebelah petang.
“Namun saya amat bertuah kerana mempunyai jentera yang cukup kental yang mana pada setiap siri ‘walkabout’ pastinya akan ada jentera yang bersama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

