PRN MELAKA: ‘APAPUN LANGGAR SAYA DI DEPAN, SAYA TAHU ORANG DUYONG ADA DI BELAKANG’ – HELMY

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

DUYONG 13 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.21 Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem merayu sokongan padu penduduk kawasan itu bagi membolehkannya memperoleh mandat lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok.

Calon nombor 2 itu berkata, sokongan berkenaan penting sebagai kekuatan untuk beliau meneruskan usaha dan khidmat kepada penduduk sekiranya sekali lagi diberi kepercayaan menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.

“Saya perlukan sokongan yang solid supaya saya tahu apa pun yang datang, apa pun yang langgar saya kat depan, saya tahu ada orang Duyong yang tahan saya kat belakang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Bilik Gerakan BN Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Gedong, di sini, hari ini.

Mengulas komitmennya sekiranya terus diberi mandat, Mohd Noor Helmy berkata beliau sudah berusaha memberikan khidmat terbaik sepanjang memegang amanah sebagai wakil rakyat dan akan meneruskan segala usaha yang dilaksanakan setakat ini.

“Sepanjang saya ada kuasa yang diamanahkan, saya dah usaha yang terbaik.

“Bila ditanya, YB akan buat lebih baik lagi ke? Tak, saya takkan buat lebih baik lagi, masa sekarang ni pun saya dah buat yang terbaik. Saya akan terus apa yang telah diusahakan setakat ini,” katanya.

Beliau turut berharap penduduk Duyong memberikan mandat lebih besar kepadanya bagi membolehkan segala usaha dan perancangan yang telah dijanjikan kepada mereka diteruskan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

140
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: KIMMA GERAK JENTERA, BANTU PENGUNDI INDIA MUSLIM KELUAR MENGUNDI