
ZULKIFLEE SASAR 85 PERATUS KELUAR MENGUNDI, YAKIN TABOH NANING KEKAL BIRU
TABOH NANING 13 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.05 Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin yakin peratusan keluar mengundi di kawasan itu mampu mencapai sehingga 85 peratus pada hari pengundian, Sabtu ini.
Zulkiflee yang juga calon nombor dua berkata, keyakinan itu bersandarkan persediaan rapi jentera pilihan raya yang kini berada pada tahap terbaik dan bersemangat untuk memastikan kemenangan BN di kawasan berkenaan.
Katanya, seluruh jentera BN di Taboh Naning juga akan terus mempergiat gerak kerja sehingga saat akhir bagi memastikan setiap pengundi disantuni dan tidak ada yang tercicir daripada perhatian.
“Insya-Allah kami di DUN Taboh Naning akan menyumbangkan satu kerusi kepada BN. Saya percaya keberkatan dan keikhlasan dalam membentuk kerjasama antara BN-PN akan memberikan kemenangan besar di Melaka.
“Kempen saya diteruskan seperti biasa hingga tarikh akhir. Kita tidak mahu leka, semua pengundi dalam DUN Taboh Naning akan disantuni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh melawat Bilik Gerakan BN DUN Taboh Naning, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata, beliau sentiasa menghormati proses demokrasi dan tidak pernah memperkecilkan kemampuan calon daripada parti lawan sepanjang tempoh kempen berlangsung.
Menurutnya, hubungan rapat dengan masyarakat yang dibina sejak hampir lima tahun lalu menjadi antara kekuatan beliau dalam memahami keperluan serta permasalahan penduduk setempat.
“Selama hampir lima tahun, rutin harian saya adalah berjumpa penduduk Taboh Naning, bertanya khabar dan mendapatkan maklum balas mengenai masalah mereka.
“Saya yakin pengundi bijak menilai dan akan membuat pilihan terbaik bagi memastikan Taboh Naning kekal biru Sabtu ini,” katanya.
Dengan persiapan jentera yang semakin mantap serta kempen yang diteruskan hingga ke saat akhir, Zulkiflee berharap sokongan pengundi dapat diterjemahkan melalui kehadiran ke pusat mengundi sekali gus membantu BN mempertahankan kerusi DUN Taboh Naning.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

