PAS PILIH PROSES DEMOKRASI, TIDAK TIMBUL ‘TEBUK ATAP’ – ABDUL HADI

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PAYA RUMPUT 13 November – PAS menegaskan pendiriannya memilih proses demokrasi dalam soal perubahan kerajaan dengan mengutamakan pendekatan damai dan rundingan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, soal ‘tebuk atap’ tidak timbul kerana parti itu menghormati proses demokrasi dalam menentukan kepimpinan kerajaan.

“Tak ada tebuk atap, kita memilih proses demokrasi. Kerana Islam mendahulukan pendamaian. Pendamaian didahulukan.

“Perang ni darurat, pendamaian diutamakan, berunding adalah kedamaian,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perjumpaan Bersama YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang di kediaman Datuk Wira Hj Yasin Hj Sarif di Kampung Paya Rumput, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Rais Yasin dan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Zulkifli Ismail.

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian PAS berhubung kemungkinan perubahan kepimpinan kerajaan sebelum tamat penggal, susulan persoalan mengenai pendirian BN yang menolak tindakan ‘tebuk atap’.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada 12 November menegaskan BN tidak mahu melakukan pertukaran kerajaan atau Perdana Menteri menerusi tindakan ‘tebuk atap’, sebaliknya mahu mandat dikembalikan kepada rakyat sekiranya syarat pembentukan Kerajaan Perpaduan tidak lagi dihormati.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, pembubaran kerajaan bagi membolehkan pilihan raya diadakan juga merupakan sebahagian daripada proses demokrasi.

“Begitu juga bubar kerajaan, buat pilihan raya ni proses demokrasi.

“Yang kita menghormati proses demokrasi ni kerana Islam mendahulukan cara damai,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi mengingatkan kepentingan penyertaan pengundi dalam pilihan raya kerana proses berkenaan menentukan kerajaan yang akan memerintah.

“Mengundi ni untuk memilih kerajaan,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan pengundi Melayu tidak keluar mengundi, selain mengingatkan bahawa perpecahan boleh menyebabkan kehilangan kekuatan politik.

“Apa yang kita bimbang, orang Melayu tak keluar mengundi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

155
Kongsi :
Previous post PENGUNDI MAHU HELMY TERUS BERKHIDMAT DI DUYONG