TPM CADANG MELAKA JADI TUAN RUMAH KEJOHANAN E-SUKAN DUNIA 2028

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

MERLIMAU 12 November – Melaka dicadang menjadi tuan rumah kejohanan e-sukan peringkat dunia pada 2028, sekali gus membuka peluang kepada negeri itu muncul sebagai destinasi penganjuran acara e-sukan bertaraf antarabangsa.

Cadangan itu disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berkata beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Presiden E-Sukan Dunia berhubung hasrat membawa kejohanan berprestij itu ke Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Menurutnya, beliau mahu Melaka dipilih sebagai lokasi penganjuran berbanding negeri lain, termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.

“Saya tidak mahu kejohanan ini diadakan di Kuala Lumpur atau di Pulau Pinang, atau di Johor. Saya mahu 2028 kejohanan ini dianjurkan di Negeri Melaka.

“Apabila Melaka akan jadi tuan rumah pada 2028, insya-Allah, saya akan berbincang dengan Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada AZH Jelajah E-Sports Melaka Biru 2026 di Pekan Merlimau, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) N.27 Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; calon BN N.25 DUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta kenamaan lain.

Ahmad Zahid berkata, beliau yakin Ketua Menteri akan memberikan sokongan terhadap penganjuran kejohanan berkenaan, termasuk kemungkinan menaja sepenuhnya acara itu sekiranya cadangan tersebut direalisasikan.

Pada masa sama, beliau berharap pasukan e-sukan Melaka mampu meningkatkan prestasi sehingga muncul juara di peringkat negeri dan seterusnya mewakili Malaysia sebagai pasukan terbaik negara.

“Saya mahu lihat pasukan dari Melaka ini akan menjadi johan Negeri Melaka. Pasukan Melaka ini juga akan jadi johan seluruh Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

173
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: DIRA TERUS SANTUNI PENGUNDI RIM DARI RUMAH KE RUMAH MENJELANG HARI MENGUNDI