PRN MELAKA: RIDHWAN MANFAAT TIKTOK, MEDIA SOSIAL DEKATI 13,500 PENGUNDI MUDA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER MOLEK 13 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali memanfaatkan platform digital termasuk TikTok dan media sosial untuk mendekati pengundi, khususnya golongan muda, sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Mohd Ridhwan yang juga Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya berkata, gabungan pendekatan secara bersemuka dan digital penting bagi memastikan mesej kempen dapat disampaikan kepada semua kelompok pengundi.

Beliau yang juga Pengerusi BN Hang Tuah Jaya berkata, penggunaan siaran langsung di TikTok dan platform media sosial lain membolehkan orang ramai mengikuti pergerakan serta aktiviti kempen yang dilaksanakan sepanjang tempoh dua minggu berkempen.

“Kaedah ini sangat membantu saya mengatasi kekangan masa dan pergerakan untuk bertemu semua pengundi secara bersemuka, terutama apabila jumlah pengundi di DUN berkenaan mencecah kira-kira 25,000 orang.

“Agak mengejutkan apabila sepanjang tempoh dua minggu ini, kebanyakan tempat saya pergi, mereka (orang muda) tahu di mana saya berada dan lokasi yang sudah saya kunjungi kerana mengikuti perjalanan secara langsung di TikTok dan media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada program walkabout di Kampung Balik Bukit, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, kira-kira 54 peratus atau 13,500 daripada keseluruhan 25,000 pengundi berdaftar di DUN Ayer Molek terdiri daripada golongan berusia bawah 40 tahun.

Justeru, katanya, media sosial menjadi antara saluran penting untuk memastikan golongan muda mendapat maklumat mengenai gerak kerja serta komitmen calon sepanjang tempoh kempen.

“Apabila mereka melihat kita bersungguh-sungguh mendekati mereka dan mendapatkan maklum balas, saya yakin anak muda lebih percaya bahawa kita serius dan bukan sekadar datang kerana mahu menang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

185
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: AHMAD ZAHID CADANG AKMAL JAGA PORTFOLIO E-SUKAN MELAKA