
PENGUNDI MAHU HELMY TERUS BERKHIDMAT DI DUYONG
DUYONG 13 November – Keyakinan terhadap kepimpinan dan keprihatinan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mendorong seorang penduduk yang berasal dari Negeri Sembilan menukar alamat mengundinya di DUN itu sekali gus menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Sabtu ini.
Mohd Rosli Shamsuddin, 41, menetap di Taman Desa Duyong berkata, sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat di DUN itu Mohd Noor Helmy cukup cakna dan prihatin selain tidak mengabaikan masalah dihadapi penduduk.
Katanya, selain menjaga kebajikan penduduk Mohd Noor Helmy berjaya membantu mengatasi masalah banjir yang sebelum ini membimbangkan penduduk setempat.
“YB Helmy seorang wakil rakyat yang mudah untuk didekati dan mendengar masalah rakyat. Dia bukan sahaja popular di media sosial tetapi dikenali kerana khidmatnya terhadap rakyat.
“Wakil rakyat seperti itu yang rakyat perlukan malah saya sendiri sudah menukar alamat tempat mengundi dari Negeri Sembilan ke Duyong,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada sesi walkabout Mohd Noor Helmy bersama Uncle Wong di Pasar Malam Seri Duyong, pada Selasa.
Sementara itu peniaga pasar malam, Mohamed Noor Maaruf, 80, berkata, meskipun sudah mengenali Mohd Noor Helmy sebelum menjadi wakil rakyat, keperibadiannya yang mesra, mudah didekati dan prihatin terhadap masyarakat kekal sama sehingga kini.
“Dia tidak pernah berubah sikap meskipun telah memegang tanggungjawab sebagai wakil rakyat malah terus menunjukkan kesungguhan mendekati masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Sepanjang menjadi wakil rakyat juga dia banyak membantu bukan sahaja penduduk tetapi peniaga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

