
PRN MELAKA : BN KOMITED TERUSKAN DASAR MESRA PELABUR JIKA DIBERI MANDAT
AYER KEROH 13 November – Dasar menarik pelaburan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat akan terus menjadi keutamaan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberikan mandat membentuk Kerajaan Negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, kesinambungan dasar sedia ada penting bagi memastikan keyakinan pelabur terhadap Melaka terus diperkukuh.
“Kerajaan Negeri akan memastikan usaha membawa masuk pelaburan baharu berjalan seiring dengan penyediaan peluang pekerjaan yang dapat dinikmati rakyat tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Grand Opening Ceremony KOA Denko Malaysia Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pengarah Urusan KOA Denko Malaysia Sdn Bhd Akira Kinoshita dan Pengerusi KOA Denko Malaysia Sdn Bhd Kazuaki Kitazawa.
Ab Rauf berkata, komitmen syarikat antarabangsa seperti KOA Denko Malaysia Sdn Bhd yang terus mengembangkan operasinya di Melaka menjadi antara bukti keyakinan terhadap kestabilan pentadbiran negeri.
“Syarikat ini sudah bertapak lebih 53 tahun di Melaka yang turut menawarkan 1,000 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini menjelang tahun hadapan.
“Ini menunjukkan bahawa keyakinan terhadap pentadbiran dan juga kestabilan Kerajaan Negeri selama ini mendapat penghargaan dan pengiktirafan syarikat antarabangsa yang terus mengembangkan pelaburannya di Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

