PRN MELAKA: DIRA SASAR SOKONGAN LEBIH 3,000 PENGUNDI BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

RIM 13 November – Pertambahan lebih 3,000 pengundi baharu, khususnya dalam kalangan mereka berusia 18 hingga 21 tahun, menjadi antara kelompok yang diberi perhatian calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Khaidhirah berkata, jumlah pengundi berdaftar di DUN Rim meningkat kepada kira-kira 17,000 berbanding sekitar 14,000 pada PRN Melaka 2021, sekali gus menjadikan sokongan pengundi baharu antara faktor penting dalam persaingan kali ini.

Beliau berharap golongan muda yang pertama kali menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi itu dapat memberikan sokongan kepada BN pada hari pengundian, Sabtu ini.

“Kali ini kita mempunyai pertambahan pengundi yang baharu, yang ‘first time voters’ berumur 18 hingga 21 tahun.

“Jadi saya harap anak-anak pengundi ini mampu memberikan saya sokongan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Walkabout yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Taman Seri Chinchin, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khaidhirah berkata, selain pertambahan pengundi baharu, kerjasama dengan rakan strategik PAS turut meningkatkan keyakinannya untuk menghadapi PRN kali ini.

“Berbeza dengan PRN Melaka 2021 yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru, kali ini sokongan BN dan PAS disatukan untuk berdepan satu lagi pencabar di kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

130
Kongsi :
Previous post JENTERA BN-PN JANGAN TERLALU SELESA, PASTIKAN PENGUNDI KELUAR AWAL – RAIS