
PRN MELAKA: TENGAH MALAM YB ALONG TURUN, KEPRIHATINAN DIKENANG PENDUDUK ASAHAN
ASAHAN 13 November – Keprihatinan Datuk Dr. Fairulnizam Roslan yang sanggup turun padang pada tengah malam menyantuni mangsa ribut amat dihargai penduduk Gunung Emas.
Bagi mereka, kehadiran pemimpin prihatin ketika berdepan kesusahan bukan sekadar memberi ruang untuk menyampaikan masalah, malah membantu menghubungkan penduduk dengan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan dan tindakan susulan.
Penduduk, Loh Chai Ha, 65, berkata kesediaan Fairul Nizam atau mesra disapa YB Along mendengar masalah masyarakat dan melihat sendiri keadaan di lapangan memberi keyakinan kepada penduduk bahawa keperluan mereka mendapat perhatian.
“Ketika ribut berlaku, ada kira-kira 10 rumah yang mengalami kerosakan. YB Along datang melihat keadaan kami pada malam itu dan keesokan harinya, pihak Pejabat Tanah mengambil tindakan susulan berkaitan pampasan.
“Bagi penduduk, apabila berdepan masalah, kami berharap ada pihak yang sudi datang melihat sendiri keadaan dan membantu mengusahakan penyelesaian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, kerjasama menerusi kumpulan Asahan Sejahtera yang melibatkan wakil rakyat, penghulu dan agensi berkaitan turut memudahkan penduduk menyampaikan aduan berhubung pelbagai isu setempat seperti kebocoran paip, gangguan bekalan elektrik dan masalah lampu jalan.
Katanya, bantuan kebajikan turut disalurkan kepada penduduk yang memerlukan, termasuk bekalan lampin pakai buang secara berkala serta peralatan sokongan seperti kerusi roda dan katil.
Keprihatinan terhadap golongan memerlukan turut dapat dilihat menerusi bantuan kediaman kepada pasangan warga emas, Lai Kong, 76, dan isterinya, Chong Chun Hua, 68, yang sebelum ini menetap di rumah uzur.
Pasangan itu menerima sebuah rumah baharu menerusi bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala YB Along membantu mengusahakan bantuan berkenaan selepas keadaan kediaman mereka dikenal pasti menerusi lawatan kebajikan.
Rumah berkenaan dilaporkan siap dibina dalam tempoh kira-kira dua bulan dengan kos pembinaan dianggarkan RM98,000, manakala jumlah keseluruhan termasuk kelengkapan rumah mencecah kira-kira RM102,000.
Antara kelengkapan asas yang disediakan ialah sofa, katil, almari, mesin basuh, dapur gas, kipas dan lampu bagi membolehkan pasangan berkenaan menikmati kehidupan lebih selesa.
“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mengusahakan rumah ini, termasuk TNB dan YB Along. Kami sangat menghargai bantuan ini kerana dapat tinggal di rumah yang lebih selesa.
“Terima kasih kerana mengambil berat tentang keadaan kami dan membantu sehingga rumah ini dapat disiapkan,” kata pasangan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

