
PRN MELAKA: HELMY AJAK PENGUNDI KELUAR AWAL, BIMBANG CUACA JEJAS KADAR KELUAR MENGUNDI
DUYONG 13 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.21 Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menggesa pengundi supaya keluar mengundi lebih awal esok bagi mengelakkan kemungkinan keadaan cuaca tidak menentu menjejaskan kehadiran mereka ke pusat mengundi.
Calon nombor 2 itu berkata, antara tumpuannya pada hari terakhir kempen adalah mengingatkan pengundi supaya tidak mengambil mudah tanggungjawab memilih wakil rakyat, selain merancang masa untuk hadir menunaikan kewajipan masing-masing.
Menurutnya, kebimbangan terhadap kemungkinan kadar keluar mengundi rendah turut menjadi perhatian calon lain yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, terutama sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan.
“Keluar lah seawal pagi, tunaikan tanggungjawab sebagai warga negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Bilik Gerakan BN Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Gedong, di sini, pada hari terakhir kempen PRN Melaka.
Beliau turut berharap pengundi memberikan kerjasama dengan hadir ke pusat mengundi bagi memastikan proses demokrasi berjalan lancar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

