
PRN MELAKA: MISI BAWA KELUAR PENGUNDI PUTIH, RAIS TIDAK MAHU JENTERA ALPA
SUNGAI UDANG 13 November – Baki tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang kurang 24 jam perlu dimanfaatkan sepenuhnya jentera Barisan Nasional (BN) bagi memastikan pengundi yang dikenal pasti menyokong parti itu atau ‘pengundi putih’ keluar menunaikan tanggungjawab esok.
Calon BN bagi kerusi N.11 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, momentum positif sepanjang kempen tidak seharusnya menyebabkan jentera parti terlalu yakin sehingga mengambil mudah persiapan menghadapi hari pengundian.
Sebaliknya, beliau mahu seluruh jentera BN terus mempergiat usaha bagi memastikan penyokong parti keluar mengundi, sekali gus memaksimumkan jumlah undi yang boleh diperoleh.
“Saya sebenarnya menyeru kepada semua, terutama jentera Barisan Nasional di seluruh Negeri Melaka, supaya menginsafi keadaan yang ada ini. Kita jangan terlalu yakin sehingga boleh mengakibatkan kita ‘complacent’.
“Saya lebih suka kita teruskan usaha dan memastikan pengundi putih itu berjaya dibawa keluar untuk menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melepaskan peserta konvoi dan flashmob Pemuda BN serta Puteri BN di Pusat Gerakan Parlimen Tangga Batu, di sini, hari ini.
Menurut Rais, gerak kerja membawa keluar pengundi perlu dimulakan seawal mungkin berikutan kemungkinan hujan pada hari pengundian berdasarkan jangkaan cuaca.
Katanya, keadaan itu perlu diambil kira bagi mengelakkan faktor cuaca menjejaskan kehadiran pengundi ke pusat-pusat mengundi.
“Dalam masa yang sama, kalau melihat kajian-kajian cuaca, esok dikatakan mungkin berlaku hujan, jika ditakdirkan Allah.
“Jadi, kita keluarkan seberapa ramai pengundi putih itu seawal yang mungkin, insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Rais turut merayu pengundi di seluruh Melaka, khususnya di DUN Sungai Udang, supaya memberikan kepercayaan dan mandat kepadanya untuk meneruskan khidmat serta bakti kepada masyarakat di kawasan berkenaan.
“Buat semua pengundi di Negeri Melaka dan paling penting di N.11 DUN Sungai Udang, saya ingin merayu dan memohon supaya diberi ruang serta mandat kepada saya untuk meneruskan khidmat dan bakti di kawasan ini,” katanya.
Beliau turut berharap proses pengundian esok berjalan lancar serta mendapat sambutan menggalakkan daripada seluruh pengundi.
“Saya berdoa agar semuanya berjalan lancar pada hari pengundian esok, insya-Allah. Semoga Melaka dapat dibirukan sebiru-birunya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


