PRN MELAKA: 1,000 ANAK RANTAU PULANG KE ASAHAN SAMBUT ‘RAYA’

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

ASAHAN 13 November – Kepulangan lebih 1,000 anak perantau ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan sempena hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 esok bukan sahaja dinantikan calon bertanding, malah turut membawa kegembiraan kepada keluarga yang menanti kepulangan mereka.

Calon Barisan Nasional (BN) DUN Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan berkata, kepulangan anak-anak yang bekerja, melanjutkan pelajaran dan menetap di luar kawasan itu menjadi kesempatan berharga untuk mereka bertemu ibu bapa serta keluarga di kampung halaman.

Fairul Nizam yang mesra disapa Along berkata, keterujaan keluarga menyambut kepulangan anak-anak dapat dilihat menerusi persiapan dilakukan termasuk membeli barangan keperluan dan lauk-pauk bagi meraikan mereka.

“Saya lihat sendiri pagi tadi ketika ke pasar, ada ibu bapa membeli ayam dan lauk-pauk kerana mahu meraikan keluarga yang pulang.

“Saya berharap pengundi luar yang berkesempatan pulang bukan sahaja dapat menunaikan tanggungjawab mengundi, tetapi juga mengambil peluang bertemu dan meluangkan masa bersama ibu bapa, terutama yang berada di kampung halaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyantuni penduduk di Pekan Asahan, di sini, hari ini.

Calon nombor 1 kerusi N.10 Asahan itu berkata, DUN Asahan mempunyai lebih 1,000 pengundi luar yang dijangka pulang mengundi dan kehadiran mereka berpotensi meningkatkan jumlah keluar mengundi di kawasan berkenaan.

Katanya, pengundi juga diharap membuat pertimbangan sewajarnya sebelum menentukan pilihan masing-masing pada hari pengundian.

“Setiap undi memberi makna kepada pilihan raya ini. Khususnya kepada pengundi luar yang pulang, saya berharap mereka boleh mendapatkan maklumat dan membuat rujukan termasuk menerusi laman sosial saya atau ahli keluarga sebelum membuat keputusan.

“Manakala kepada semua pengundi DUN Asahan, saya berharap mereka menetapkan pendirian dan keluar mengundi seawal mungkin berikutan keadaan cuaca dijangka kurang mengizinkan pada sebelah petang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

183
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: CIKGU MUSTAFA SERU ANAK PERANTAU PULANG UNDI BIRU