
PRN MELAKA: ‘MOMENTUM KALI INI LUAR BIASA’ – RAIS
SUNGAI UDANG 13 November – Deruman kira-kira 250 motosikal bersama penyertaan penghantar makanan, penggiat e-hailing dan pemandu lori mewarnai gerak kerja kempen Barisan Nasional (BN) pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.
Program yang berlangsung di Pusat Gerakan Utama BN Parlimen Tangga Batu itu menghimpunkan pelbagai kelompok masyarakat sebagai tanda solidariti dan sokongan terhadap parti berkenaan menjelang hari pengundian esok.
Calon BN bagi kerusi N.11 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, program itu turut menjadi platform untuk menyantuni golongan muda yang mencari rezeki dalam sektor e-hailing dan p-hailing, termasuk penghantar makanan.
“Kita kumpulkan anak-anak muda daripada Grab dan Foodpanda yang terlibat dalam sektor e-hailing dan p-hailing untuk kita menyantuni mereka.
“Selain itu, ada flashmob daripada jentera Pemuda dan Puteri BN. Saya akan membuat pelepasan konvoi dan mereka akan bergerak secara berhemah bagi menunjukkan solidariti bersama BN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi pelepasan konvoi berkenaan di Pusat Gerakan Utama BN Parlimen Tangga Batu, di sini, hari ini.
Menurut Rais, selain kira-kira 250 motosikal dan beberapa kenderaan pacuan empat roda, kira-kira 10 lori turut dijadualkan menyertai konvoi berasingan pada sebelah malam.
“Lebih istimewa, malam ini saya juga akan membuat pelepasan konvoi membabitkan abang-abang lori. Jumlahnya kira-kira 10 buah lori bagi memberikan gambaran bahawa pelbagai golongan turut bersama-sama dengan BN,” katanya.
Beliau berkata, pengisian flashmob membabitkan jentera Pemuda dan Puteri BN itu turut dilaksanakan secara serentak di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain, manakala pelepasan di Tangga Batu dikendalikan olehnya.
Mengulas momentum kempen kali ini, Rais berkata, kerjasama dan penglibatan pelbagai pihak memberikan suntikan semangat kepada jentera parti untuk menghadapi hari pengundian.
“Istimewanya kali ini ialah kita bekerjasama dengan semua pihak. Contohnya, hari ini kita bersama anak-anak muda yang terlibat dalam sektor e-hailing.
“Saya pernah menyertai banyak pilihan raya, tetapi kali ini saya melihat momentum kebersamaan itu begitu terasa dan luar biasa apabila semua pihak bergerak bersama-sama menuju hari pengundian esok,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

