PRN MELAKA: BELANJA RM700 PULANG DARI SARAWAK, ASHIRA TERUJA UNDI KALI PERTAMA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

DUYONG 14 November – Sanggup membelanjakan kira-kira RM700 bagi tiket penerbangan pergi dan balik antara Sarawak-Melaka, itulah semangat seorang penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang tidak mahu melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, hari ini.

Ashira Dania Mohd Hairul, 20, berasal dari menetap di Taman Seri Duyong 2, berkata pengalaman pertama mengundi itu cukup mengujakan sehingga mendorongnya pulang dari Sarawak.

Penuntut bidang Sains Sosial ini berkatam kos perjalanan berkenaan tidak menjadi halangan untuknya pulang memandangkan beliau mahu merasai sendiri pengalaman memilih wakil rakyat buat pertama kali.

“Kos balik saya beli tiket penerbangan dalam RM700 untuk pergi dan balik. Memang teruja nak mengundi ini sebab pertama kali,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Duyong, di sini, hari ini.

Mengulas harapannya terhadap pembangunan kawasan Duyong, Ashira berkata beliau mahu melihat kawasan itu terus maju selain menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk melibatkan diri dalam aktiviti dan program komuniti.

Katanya, program melibatkan belia tidak seharusnya tertumpu kepada aktiviti sukan sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan supaya lebih ramai anak muda dapat mengambil bahagian.

Beliau yang hadir bersama kakak dan ahli keluarganya turut berharap lebih ramai golongan muda, khususnya Generasi Z, mengambil peluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tanpa menunggu sehingga saat akhir.

“Kepada Gen Z di luar sana, keluarlah mengundi. Jangan tunggu tengah hari baru nak mengundi, keluarlah pada waktu pagi dan jangan sampai mak-mak marah suruh bangun mengundi,” katanya berseloroh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

295
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: APA JUA KEPUTUSAN BAN HONG TETAP SETIA BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT
Next post PRN MELAKA: TIGA BERADIK KONGSI PENGALAMAN KALI PERTAMA MENGUNDI